BERITA SEMASADALAM NEGERI

MCMC tarik balik saman selepas permohonan maaf terbuka Murray Hunter

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menarik balik kes fitnah jenayah yang difailkan terhadap pengulas politik, Murray Hunter, di Thailand selepas beliau membuat permohonan maaf secara terbuka serta menarik semula empat penerbitan dalam talian yang dipertikaikan.

Dalam kenyataan semalam, MCMC memaklumkan prosiding jenayah di Thailand itu tercetus susulan empat artikel yang disifatkan sebagai mengelirukan dan tidak tepat mengenai suruhanjaya berkenaan yang diterbitkan ketika Hunter menetap di negara tersebut.

Menurut MCMC, tindakan undang-undang itu dimulakan oleh pihak berkuasa Thailand selaras dengan kerangka perundangan dan tatacara domestik negara berkenaan.

Katanya, kedua-dua pihak kemudiannya mencapai penyelesaian di Mahkamah Jenayah Bangkok Selatan selepas beberapa sesi pengantaraan diadakan.

“Sejurus perjanjian penyelesaian ditandatangani, MCMC telah memaklumkan mahkamah mengenai keputusan untuk menarik balik laporan yang dibuat berhubung kes tersebut,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, MCMC dilaporkan membuat laporan polis di Malaysia dan Thailand terhadap empat penerbitan berkenaan yang didakwa mengandungi tuduhan serius serta tidak berasas sehingga mengelirukan orang ramai dan menjejaskan reputasi suruhanjaya tersebut.

MCMC menjelaskan, tindakan undang-undang terpaksa diambil bagi melindungi integriti institusi itu serta memastikan keyakinan awam terhadap pelaksanaan fungsi statutori tidak terhakis.

Dalam perkembangan sama, MCMC turut memaklumkan bahawa saman fitnah sivil di Malaysia membabitkan 13 artikel yang didakwa memfitnah telah diselesaikan melalui perintah persetujuan bertarikh 4 Februari lalu.

Menurut suruhanjaya itu, kedua-dua kes jenayah di Thailand dan saman sivil di Malaysia kini dianggap selesai, tertakluk kepada pematuhan Hunter terhadap terma perjanjian penyelesaian dan perintah persetujuan yang dipersetujui.

Hunter, warga Australia yang pernah menetap di Malaysia dan kini berpangkalan di Thailand, dikenali menerusi penulisan kritikal berkaitan politik negara ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button