MCMC siasat lima individu sebar berita palsu kenaikan harga bahan api
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan terhadap lima individu yang disyaki menyebarkan maklumat palsu berhubung kenaikan harga petrol dan diesel di platform media sosial Threads.
Menurut MCMC, tiga daripada lima suspek telah dipanggil bagi tujuan rakaman percakapan untuk membantu siasatan lanjut.
“Kandungan yang disebarkan oleh kesemua suspek berkaitan kenaikan harga bahan api petrol dan diesel didapati palsu, mengelirukan serta berpotensi menimbulkan kegelisahan kepada pengguna.
“Hasil semakan lanjut, pihak Buletin TV3 telah mengeluarkan penafian terhadap penerbitan kandungan yang disunting menggunakan identiti visual mereka.
“Susulan itu, pihak MCMC juga telah menerima aduan daripada Buletin TV3 bahawa kandungan palsu yang tular tersebut adalah bukan daripada mereka dan dilakukan oleh pihak ketiga,” kata MCMC dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
“MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.
“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada,” tegas kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan platform media sosial.
“Jangan menyalahgunakan kemudahan komunikasi bagi memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam,” kata MCMC.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








