JENAYAH & MAHKAMAH

Pemuda 23 tahun mengaku salah, didenda RM11,000 muat naik video lucah

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pemuda berkongsi kandungan tidak bermoral di media sosial membawa padah apabila dia didenda RM11,000 oleh Mahkamah Sesyen Jenayah, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memuat naik video lucah dua tahun lalu.

Hakim Tuan Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu terhadap Orang Kena Saman (OKS), Muhammad Azmirul Iman Ulul Azmi, 23, atas kesalahan yang dilakukan pada 29 Mac 2024 kira-kira pukul 11.32 malam.

Mengikut pertuduhan, OKS secara sedar telah membuat dan menghantar komunikasi berbentuk video lucah melalui pautan yang dikongsikan menerusi satu akaun media sosial di platform X menggunakan nama ‘@sweetierosieee’.

Hantaran itu kemudian dilihat pukul 11.00 pagi pada 4 April 2024 oleh seorang lelaki di sebuah premis Jalan Pandan, di sini sebelum dia membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui portal aduan dalam talian kerana mendakwa berasa terganggu dengan kandungan berunsur seksual yang dipaparkan.

Susulan aduan itu, satu laporan maklumat awal dibuka dan polis bersama MCMC menjalankan pemeriksaan ke atas tertuduh di Balai Polis Mentakab, Pahang dan telefon OKS telah dirampas.

Hasil analisis forensik mendapati akaun berkenaan diakses menggunakan telefon tersebut dan video yang sedang disiasat ditemui semula.

Justeru pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah seksyen 233 (3) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysian (MCMC), Nur Nazhzilah Mohammad Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran selain hukuman yang boleh memberi mesej kepada masyarakat tentang keseriusan kes ini.

“Perbuatan OKS menyumbang kepada gejala sosial kerana kandungan lucah amat mudah diakses oleh sesiapa saja termasuk kanak-kanak dan ia boleh diakses pada bila-bila masa.

“Pendedahan berterusan menyumbang kepada keruntuhan moral, penularan penyakit kelamin, seks bebas, kelahiran anak luar nikah dan jenayah seksual,” kata Nazhzilah.

Bagaimanapun OKS yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan ini merupakan kesalahan pertamanya selain tidak berkemampuan.

“Saya benar-benar insaf dan berjanji tidak akan mengulangi lagi kesalahan sama di masa akan datang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button