Lagi guni berisi tulang manusia ditemukan di Behor Mali
KANGAR – Polis menemukan satu lagi bungkusan guni mengandungi tulang dipercayai rangka manusia di kawasan Behor Mali, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, penemuan itu berlaku kira-kira 31.1 meter dari lokasi penemuan tulang manusia yang dilaporkan pada 26 Julai lalu.
Menurutnya, guni berkenaan ditemui seorang peniaga lelaki berusia 61 tahun kira-kira jam 11 pagi ketika melakukan kerja menebas semak di tanah milik anak perempuannya yang baru dibeli sekitar dua bulan lalu.
“Pengadu menemui beberapa tulang yang tidak dikenal pasti dalam keadaan terburai dan terkeluar daripada sebuah guni putih yang lusuh serta koyak.
“Guni itu ditemui separuh tertimbus dalam tanah dan dilitupi semak-samun di kawasan sempadan tanah rizab Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi turut menemukan sehelai seluar dalam, seluar pendek yang lusuh dan koyak serta seutas tali pinggang berhampiran guni berkenaan.
“Phak polis percaya tulang dan barangan terbabit sudah lama ditinggalkan di lokasi tersebut.
“Semua barang kes dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah pada jam 4.30 petang semalam untuk analisis awal patologi.
“Susulan penemuan terbaharu ini, kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.
Yusharifuddin turut memaklumkan kes penemuan tulang pertama di lokasi berhampiran pada 26 Julai lalu juga telah diklasifikasikan semula di bawah seksyen sama.
Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan (ASP) Tengku Moh Farid Tengku Ibrahim di talian 019-9939200.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

