Perbuatan vandalisme, kecurian punca menara komunikasi CelcomDigi alami gangguan perkhidmatan
CYBERJAYA – Sebuah menara komunikasi milik CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) di Bukit Pilah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan terjejas apabila menjadi mangsa perbuatan vandalisme dan kecurian.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), akibat perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut, pihaknya menerima laporan daripada CelcomDigi pada Sabtu lalu berhubung gangguan perkhidmatan 2G dan 4G di sekitar Kuala Pilah.
Katanya, gangguan turut menjejaskan 13 menara komunikasi lain serta hampir 1,668 pengguna daripada pelbagai syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi di sekitar kawasan Kuala Pilah.
“Susulan itu, pihak MCMC telah mengadakan lawatan tapak ke lokasi terjejas bersama pihak CelcomDigi dan mendapati beberapa peralatan komunikasi, termasuk peralatan seperti Radio Transport System (RTS) dan Baseband Unit (BBU) telah dicuri.
“Kejadian ini mengakibatkan gangguan perkhidmatan di kawasan berhampiran serta menjejaskan operasi menara komunikasi lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pihak CelcomDigi telah melaksanakan kerja-kerja pemulihan dengan mengaktifkan semula menara komunikasi yang terjejas secara berperingkat.
Katanya, kesemua 14 menara komunikasi kini telah kembali beroperasi dan mula menyediakan perkhidmatan kepada pengguna.
“Sehubungan dengan itu, orang awam diseru untuk memainkan peranan dengan melaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau mana-mana pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di sekitar menara komunikasi.
“MCMC tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang menjejaskan infrastruktur komunikasi.
“Perbuatan vandalisme terhadap kemudahan telekomunikasi adalah kesalahan serius di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi 1dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








