MCMC sita 6,916 peralatan komunikasi disyaki tiada perakuan sah
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyita sebanyak 6,916 alat kelengkapan komunikasi yang disyaki tidak mempunyai perakuan sah daripada sebuah syarikat pengedar, baru-baru ini.
Menurut MCMC dalam satu kenyataan, Op V380 pada 24 Jun lalu itu menyasarkan sebuah syarikat dipercayai terlibat dalam penjualan serta pemilikan bagi tujuan penjualan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui dan tidak mematuhi piawaian teknikal yang ditetapkan undang-undang.
Operasi melibatkan seramai 44 pegawai dan anggota itu dilaksanakan secara serentak di sebuah gudang penyimpanan di Klang serta sebuah premis yang dijadikan pejabat urusan dan studio siaran langsung di Johor Bahru.
Antara peralatan disita termasuk kamera litar tertutup tanpa wayar (wireless CCTV), komputer, mesin pencetak, telefon bimbit dan penghala WiFi (WiFi router) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM2.06 juta.
Siasatan awal mendapati, kelengkapan komunikasi berkenaan ditawarkan dan dijual melalui platform e-dagang, termasuk TikTok Shop dan Shopee.
Seramai lapan individu termasuk pengurus syarikat, pembantu gudang dan hos siaran langsung telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
“Penjualan dan penggunaan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui boleh menjejaskan keselamatan pengguna kerana tidak mematuhi piawaian teknikal yang ditetapkan.
“Selain berpotensi menjejaskan prestasi dan kebolehpercayaan peranti, penggunaannya juga boleh menyebabkan gangguan kepada rangkaian komunikasi serta menjejaskan kualiti perkhidmatan komunikasi,” kata MCMC dalam kenyataan tersebut.
Kes disiasat di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
“MCMC akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan, pengedaran serta pemilikan bagi tujuan penjualan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya hanya mendapatkan kelengkapan komunikasi yang telah diperakui bagi memastikan keselamatan pengguna serta mengelakkan risiko gangguan kepada rangkaian komunikasi negara,” kata MCMC lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












