BERITA SEMASA

54,626 kandungan palsu diturunkan MCMC, platform wajib sekat kandungan memudaratkan dalam 24 jam

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menurunkan 54,626 kandungan palsu atau 86 peratus daripada 63,215 permohonan yang dikemukakan kepada penyedia perkhidmatan bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 31 Mei 2026 dalam usaha membendung penularan maklumat tidak benar.

Kementerian Komunikasi berkata, bagi memperkukuh usaha itu, MCMC turut mewajibkan Pemberi Perkhidmatan Berlesen mengambil tindakan terhadap kandungan memudaratkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan, termasuk menyekat akses kepada kandungan berkeutamaan tinggi dalam tempoh 24 jam.

Langkah berkenaan dikuatkuasakan menerusi Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Talian (Tempoh) 2025 di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) bagi mengekang penularan kandungan palsu serta maklumat palsu dan maklumat salah pada peringkat awal.

“Bagi kandungan berkeutamaan tinggi seperti penipuan kewangan, kandungan terbabit hendaklah dijadikan tidak boleh diakses dalam tempoh 24 jam bagi membolehkan penilaian, pengesahan dan tindakan lanjut dilaksanakan,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Jawapan itu diberikan bagi menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) berhubung mekanisme mengawal penyebaran berita palsu, maklumat palsu dan maklumat salah terutama dalam tempoh kritikal kurang 24 jam sebelum penularan secara meluas.

Menurut kementerian itu, selain penguatkuasaan Akta 866 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, MCMC turut memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi pelancaran Chatbot Artificial Intelligence Fact-check Assistant (AIFA) pada 28 Januari 2025 bagi memudahkan orang ramai menyemak kesahihan maklumat dengan lebih pantas.

Sehingga 31 Mei lalu, AIFA yang menyokong portal Sebenarnya.my telah memproses sebanyak 197,403 mesej dengan purata 404 mesej sehari, manakala sebanyak 1,016 artikel semakan fakta diterbitkan bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 31 Mei lalu.

Dalam aspek pencegahan dan pemerkasaan literasi digital, Kempen Internet Selamat dilaksanakan di sekolah dan institusi pengajian tinggi serta 1,938 program kepada masyarakat umum yang membabitkan 2,136,941 peserta di seluruh negara sehingga 15 Jun lalu.

“Melalui pendekatan yang menggabungkan penguatkuasaan undang-undang, kerjasama strategik dengan penyedia platform, pemanfaatan teknologi serta pemerkasaan literasi digital, kerajaan komited memastikan penyebaran berita palsu, maklumat palsu dan maklumat salah dapat dibendung secara lebih berkesan demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan ekosistem digital negara,” menurut kementerian itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button