JENAYAH & MAHKAMAH

Aktivis mengaku tidak bersalah buat hantaran komunikasi jelik berkaitan institusi diraja

SEPANG – Aktivis, Islah Wahyudi Zainudin, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Jenayah Sesyen 1 Sepang hari ini atas pertuduhan menggunakan perkhidmatan Instagram untuk memulakan penghantaran komunikasi yang jelik melampau sifatnya berkaitan institusi diraja.

Islah Wahyudi, 46, membuat pengakuan sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman dan memohon untuk dibicarakan.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM6,000 terhadap tertuduh dan menetapkan 22 September depan untuk penyerahan dokumen oleh pihak pendakwaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Islah Wahyudi didakwa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan menggunakan perkhidmatan Instagram untuk memulakan penghantaran komunikasi yang jelik melampau sifatnya terhadap Institusi Diraja.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya MCMC Fadhli Ab Wahab mencadangkan agar tertuduh dikenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin namun peguam Islah Wahyudi, Aidil Khalid kemudian merayu anak guamnya diberi jaminan rendah iaitu RM3,000.

Dalam hujah memohon jumlah ikat jamin lebih rendah, peguamnya, Aidil Khalid berkata, anak guamnya tidak mempunyai risiko melarikan diri kerana sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.

Peguam turut memaklumkan anak guamnya sebelum ini ditawarkan kompaun, namun menolaknya dan memilih untuk membela diri di mahkamah.

Menurut beliau, kehadiran Islah Wahyudi sendiri ke mahkamah hari ini membuktikan anak guamnya tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.

Peguam turut berhujah tiada risiko anak guamnya mengganggu saksi kerana pihak yang berkaitan dalam kes berkenaan adalah pegawai MCMC sendiri.

Islah Wahyudi sebelum ini bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Dalam kempen PRN berkenaan, aktivis itu turut mengemukakan cadangan supaya nama Port Dickson ditukar kepada Tanjung Kemuning sebagai usaha mengangkat identiti serta sejarah kawasan berkenaan.

Bagi kes sama, Islah Wahyudi sebelum ini dikenakan kompaun oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), namun memilih untuk tidak menyelesaikan kompaun tersebut dan sebaliknya membawa perkara berkenaan untuk diputuskan melalui prosiding mahkamah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button