Isu Grok: MCMC bakal bertemu X Corp minggu depan
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bakal mengadakan pertemuan dengan penyedia platform media sosial, X Corp minggu depan susulan kontroversi chatbot kecerdasan buatan (AI) Grok yang sebelum ini disekat sementara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, setakat pukul 10 pagi tadi, MCMC telah menghubungi pihak X bagi mengatur pertemuan tersebut namun masih menunggu maklum balas rasmi daripada syarikat berkenaan.
“Ada beberapa perkara yang perlu disahkan sebelum mesyuarat itu diadakan. Kita masih menunggu respons daripada pihak X,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, di sini hari ini.
Sebelum ini, Fahmi memaklumkan bahawa MCMC tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap X susulan kegagalan platform itu menyekat akses kepada kandungan berbahaya yang dijana oleh Grok.

Beliau berkata, MCMC telah menghubungi X bagi mendapatkan maklum balas berhubung isu tersebut, namun respons yang diterima daripada syarikat media sosial itu didapati tidak memuaskan.
Ahad lalu, Grok disekat sementara selepas didapati berulang kali disalahgunakan untuk menjana kandungan lucah, eksplisit secara seksual, tidak senonoh, sangat menyinggung perasaan serta imej manipulasi tanpa kebenaran, termasuk melibatkan wanita dan kanak-kanak.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi memberitahu beliau telah menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian yang dipengerusikan bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim selain mengadakan pertemuan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said semalam bagi membincangkan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA).
Menurutnya, perbincangan tertumpu kepada cabaran semasa dalam melaksanakan ONSA yang telah berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
“Insya-Allah, jawatankuasa inilah yang akan membantu dan mengawasi serta menterjemahkan, menetapkan apa yang dimaksudkan sebagai kemudaratan dalam talian untuk tindakan pihak MCMC.
“Saya harap jawatankuasa ini dapat berfungsi dengan baik, cermat, dan bebas dalam memastikan internet lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







