BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Program NADI Usahawan@Shopee perkasa peniaga kecil tembusi pasaran digital

PUTRAJAYA – Program NADI Usahawan@Shopee dilancarkan hari ini sebagai inisiatif memperkasa usahawan kecil dan sederhana melalui ekosistem pendigitalan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, program hasil kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan platform e-dagang, Shopee itu selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan pembangunan digital yang inklusif.

Menurutnya, Pusat NADI bukan sahaja menyediakan akses internet, malah berfungsi sebagai platform komuniti untuk pembelajaran, pemerkasaan dan pembangunan kapasiti masyarakat.

“Apabila kemudahan ini digandingkan dengan kekuatan pemain industri seperti Shopee, peluang yang terhasil menjadi lebih praktikal dan bertepatan dengan keperluan sebenar rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program berkenaan di Hotel Everly, di sini hari ini.

Turut hadir Anggota Suruhanjaya MCMC, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin; Naib Presiden Shope Asia Tenggara, Junjie Zhou dan Ketua Hal Ehwal Luar Shopee Malaysia, Nik Emir Mohamed Din.

Beliau berkata, program tersebut akan dilaksanakan dari Februari hingga Ogos 2026 dengan pendekatan menyeluruh.

fahmi
Fahmi (tengah) merasmikan pelancaran program Usahawan NADI@Shopee.

“Program ini membuka pelbagai laluan penjanaan pendapatan merangkumi e-dagang, affiliate marketing dan Shopee Collection Points selari dengan realiti komuniti yang berbeza,” katanya.

Fahmi turut berkongsi kisah kejayaan usahawan NADI sebagai bukti keberkesanan inisiatif tersebut.

Antaranya kisah Nahdatul Izah Md Yasan dari NADI Taman Seri Serkam, Melaka iaitu pengasas Nimy Collection Enterprise yang mengusahakan produk hiasan perak dan titanium.

“Bermula dengan cabaran menembusi pasaran, beliau kini mencatat jualan tahunan melebihi RM200,000, dengan lebih 19,700 unit produk terjual, serta menerima penarafan 4.9 bintang di platform Shopee.

“Lebih membanggakan, beliau kini berperanan sebagai mentor dan membimbing lebih 100 usahawan lain dalam pemasaran digital,” ujarnya.

Tambah Fahmi, seorang lagi usahawan dari Perak pula merekodkan jualan lebih RM100,000 setahun dan berjaya menembusi pasaran runcit hasil bimbingan serta latihan yang diterima melalui NADI.

Menurut beliau, kejayaan itu membuktikan bahawa akses digital, latihan berstruktur dan sokongan strategik mampu melonjakkan perniagaan komuniti ke tahap lebih mampan dan berdaya saing.

Dalam pada itu, Fahmi menegaskan elemen latihan menjadi komponen penting program berkenaan, merangkumi asas penjualan, pemasaran digital, penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), selain demonstrasi Shopee Live dan siri webinar melalui Shopee University.

“Pendekatan berfasa ini mencerminkan komitmen jangka panjang dalam membimbing usahawan, bukan sekadar pelancaran semata-mata,” katanya.

Beliau berharap lebih ramai usahawan NADI berani meneroka pasaran digital, memperkukuh jenama serta meningkatkan pendapatan keluarga dan komuniti.

“Saya percaya dengan kesungguhan dan bimbingan yang betul, usahawan komuniti mampu melangkah lebih jauh dalam ekonomi digital negara,” katanya.

Setakat ini, terdapat hampir 1,100 prasarana NADI di seluruh negara yang memberi manfaat pendigitalan kepada rakyat.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2024, program ini telah memanfaatkan lebih 10,000 peserta melalui bimbingan berstruktur dan sokongan berterusan, meningkatkan kemahiran, memperkukuh daya saing serta memperluas potensi pasaran perniagaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button