KEMENTERIAN KOMUNIKASI

MCMC kesan lebih 8,410 akaun palsu main isu 3R

MELAKA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti lebih 8,410 akaun palsu yang dipercayai terlibat menyebarkan kandungan berunsur perkauman, keagamaan dan institusi diraja (3R).

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, akaun-akaun berkenaan kini dalam proses tindakan termasuk diturunkan daripada platform media sosial.

Menurut beliau, pihak tidak bertanggungjawab menggunakan pelbagai taktik bagi menyebarkan kandungan provokatif yang berpotensi menggugat keharmonian masyarakat.

“Kebanyakan akaun ini digunakan untuk memuat naik hantaran provokatif sebelum dipadam selepas tangkap layar dibuat bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Beliau berkata, MCMC sedang mengambil tindakan berterusan bagi membendung penyebaran kandungan yang menyentuh isu sensitif dan boleh mengancam kestabilan negara.

Dalam perkembangan sama, Fahmi mengingatkan pengguna media sosial supaya lebih bertanggungjawab ketika berkongsi maklumat dan tidak terpengaruh dengan kandungan yang sengaja direka untuk mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama.

Katanya, kerajaan komited memastikan ruang digital kekal selamat serta tidak disalahgunakan oleh pihak yang mempunyai agenda tertentu.

“Perkara ini sedang ditangani dan proses menurunkan akaun-akaun berkenaan sedang dilaksanakan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Fahmi turut memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan mengamalkan pendekatan mengongkong kebebasan media, sebaliknya memilih kaedah lebih profesional dan berhemah dalam menguruskan sebarang isu berkaitan laporan berita.

Beliau berkata, kerajaan menghormati peranan media sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat serta memperkukuh amalan demokrasi negara.

Menurut beliau, sekiranya terdapat laporan yang tidak tepat, perkara itu akan ditangani melalui saluran yang sesuai dan secara beradab tanpa sebarang tekanan terhadap organisasi media.

“Kita akan berurusan dengan media secara tertib dan beradab jika terdapat perkara yang perlu diperbetulkan,” katanya.

Sementara itu beliau memaklumkan pasukan penerangan PKR akan memperluaskan penganjuran ceramah kelompok di seluruh negara sebagai usaha memperkukuh penyampaian maklumat berkaitan dasar dan inisiatif kerajaan.

Katanya, pendekatan berskala kecil tetapi dilaksanakan secara lebih kerap itu didapati berkesan dalam membantu rakyat memahami isu-isu yang kompleks termasuk berkaitan ekonomi dan pentadbiran negara.

“Kaedah ini membolehkan interaksi dua hala yang lebih dekat dengan masyarakat selain memberi ruang kepada rakyat mendapatkan penjelasan secara terus,” katanya lagi.

Menyentuh isu integriti, Fahmi menegaskan PKR dan Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap individu berprofil tinggi dalam beberapa kes melibatkan dana awam membuktikan kerajaan serius dalam usaha membanteras amalan tersebut tanpa mengira kedudukan atau pengaruh.

Beliau berkata, komitmen itu penting bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi negara terus diperkukuhkan serta memastikan setiap sen wang awam diuruskan dengan penuh amanah dan bertanggungjawab.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button