Kawal selia trafik internet untuk lindungi pengguna – MCMC
CYBERJAYA – Kawal selia trafik internet melalui Pengurusan Sistem Nama Domain (DNS) adalah bertujuan untuk melindungi pengguna yang tidak mempunyai tahap perlindungan yang sama terhadap kandungan berbahaya, terutamanya dalam konteks tempatan.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pihaknya memahami kebimbangan dan salah faham yang timbul berikutan langkah berkenaan.
“Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP) biasanya mengendalikan pelayan DNS mereka sendiri dan pelayan ini boleh dikonfigurasi untuk menyekat akses ke laman web atau domain tertentu berdasarkan kandungannya.
“(Sehubungan itu) MCMC telah mengeluarkan arahan kepada ISP untuk mengalih trafik DNS yang menuju ke pelayan DNS pihak ketiga kembali ke pelayan DNS mereka sendiri.
“Langkah ini diambil bagi memastikan pengguna terus mendapat manfaat daripada perlindungan yang disediakan oleh pelayan DNS ISP tempatan dan memastikan laman web berbahaya tidak dapat diakses oleh rakyat Malaysia,” kata MCMC dalam satu kenyataan, hari ini.
MCMC memaklumkan, terdapat dakwaan palsu bahawa langkah yang diambil ini adalah keras, dan ingin menegaskan ia diambil bagi melindungi golongan yang mudah terdedah daripada kandungan dalam talian yang berbahaya.
“Terdapat juga dakwaan tidak tepat yang mencadangkan sekatan secara menyeluruh, dengan sesetengah pihak menyatakan bahawa laman web sah telah tidak dapat diakses akibat pengalihan DNS.
“Laman web hanya disekat apabila didapati mengandungi kandungan berbahaya atau menyalahi undang-undang, seperti perjudian dalam talian, pornografi, pelanggaran hak cipta, penipuan, pancingan data (phishing), dan lain-lain.
“Laman web sah kekal boleh diakses seperti biasa, dan pengalihan DNS memastikan bahawa laman web berbahaya disekat manakala laman web sah boleh dicapai tanpa gangguan yang ketara,” kata MCMC lagi.
Para pengguna yang mengalami masalah mengakses laman web yang sah boleh terus melaporkan kepada Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) masing-masing supaya isu tersebut dapat ditangani dengan segera.
“Selain itu, mana-mana laman web yang percaya bahawa mereka telah disasarkan atau terjejas secara tidak adil boleh mengemukakan rayuan melalui saluran yang ditetapkan.
“Tribunal Rayuan yang ditubuhkan oleh SKMM dan dipengerusikan oleh seorang hakim Mahkamah Tinggi beroperasi secara bebas untuk memastikan setiap kes diteliti dengan adil dan tidak berat sebelah,” kata MCMC lagi.
MCMC turut menambah, pihaknya kekal komited untuk mengekalkan persekitaran dalam talian yang selamat dan terjamin di Malaysia, dengan mengimbangi perlindungan pengguna internet dan keperluan akses tanpa gangguan kepada kandungan dalam talian yang sah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






