BERITA SEMASA

ASEAN GeoAI Fusion 2026 jadi platform inovasi digital serantau

CYBERJAYA – Penyertaan lebih 1,000 peserta dalam program ASEAN GeoAI Fusion 2026, baru-baru ini mencerminkan peningkatan momentum serantau dalam memanfaatkan Kecerdasan Buatan Geospatial (GeoAI) dalam menangani cabaran dunia sebenar serta mempercepatkan transformasi digital.

Dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), program berkenaan menjadi platform serantau untuk memperkukuh bakat digital, memupuk inovasi dan memperluas kerjasama dalam usaha membina ASEAN yang lebih saling berhubung, berdaya tahan dan inklusif dari segi digital.

digital
Selain menghimpunkan peserta, pengamal industri, penyelidik dan pakar teknikal dari rantau ASEAN, program tersebut turut membuka ruang kepada pertukaran pengetahuan dan kerjasama rentas sempadan bagi mempercepat penggunaan teknologi digital baharu di rantau ini. – GAMBAR IHSAN MCMC

Selain menghimpunkan peserta, pengamal industri, penyelidik dan pakar teknikal dari rantau ASEAN, program tersebut turut membuka ruang kepada pertukaran pengetahuan dan kerjasama rentas sempadan bagi mempercepat penggunaan teknologi digital baharu di rantau ini.

“ASEAN GeoAI Fusion 2026 mencerminkan komitmen MCMC dalam memperkukuh kerjasama digital serantau serta melahirkan bakat masa depan yang berupaya memanfaatkan teknologi baharu.

“Inisiatif ini turut menyokong aspirasi bersama ASEAN untuk membina rantau yang lebih berhubung, berdaya tahan dan inklusif secara digital, di samping memperkukuh peranan GeoAI dalam membentuk masa depan pembangunan digital,” kata MCMC dalam satu kenyataan, hari ini.

GeoAI menggabungkan kecerdasan buatan dengan data geospatial dan berasaskan lokasi bagi menghasilkan analisis yang boleh digunakan untuk perancangan dan pembuatan keputusan yang lebih tepat.

Teknologi itu mempunyai pelbagai aplikasi termasuk pengoptimuman rangkaian telekomunikasi, perancangan infrastruktur, kesiapsiagaan bencana, pemantauan alam sekitar serta peluasan liputan digital ke kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan.

Sebagai sebahagian daripada program itu, peserta berjaya menamatkan Bootcamp 1 yang berlangsung dari 7 hingga 9 Julai lalu bertemakan “Geospatial Intelligence for a Connected ASEAN”.

Menerusi sesi yang dikendalikan pakar, latihan praktikal dan kajian kes serantau, peserta didedahkan dengan penggunaan GeoAI dalam memperkukuh perancangan telekomunikasi, menyokong penggubalan dasar berasaskan data dan memajukan keterangkuman digital.

Peserta turut diberi peluang memulakan pembangunan penyelesaian inovatif bagi meningkatkan kesalinghubungan, memperkukuh daya tahan terhadap bencana serta mengoptimumkan perancangan infrastruktur di seluruh rantau.

Program itu akan diteruskan menerusi Bootcamp 2 yang dijadual berlangsung dari 21 hingga 23 Julai ini sebelum peserta memasuki fasa hackathon, yang memberi peluang untuk menterjemahkan idea kepada penyelesaian inovatif bagi menangani cabaran sebenar yang dihadapi komuniti di seluruh ASEAN.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button