ASEAN, EU tingkat kerjasama TVET lahir tenaga kerja berkemahiran tinggi
GEORGE TOWN – Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Kesatuan Eropah (EU) terus memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi meningkatkan kesediaan tenaga kerja serta pembangunan kemahiran di rantau ini.
Duta Besar EU ke ASEAN, Sujiro Seam berkata, kerjasama tersebut penting dalam membantu memenuhi keperluan kemahiran yang sentiasa berubah seiring perkembangan ekonomi dan teknologi semasa.

Menurut beliau, TVET kini menjadi antara fokus utama strategi Global Gateway EU yang memberi penekanan terhadap kesalinghubungan mampan dalam pelbagai sektor strategik termasuk digital, pengangkutan, iklim, tenaga, kesihatan serta penyelidikan dan pendidikan.
“Bidang-bidang ini menjadi tunjang kepada pembangunan ekonomi masa depan dan memerlukan tenaga kerja yang memiliki kemahiran relevan serta bersedia menghadapi perubahan industri,” katanya ketika berucap pada Bengkel Closing The Gap 2026, di sini.
Program yang berlangsung dari 12 hingga 14 Mei itu menghimpunkan wakil kerajaan, institusi TVET dan pemain industri dari seluruh ASEAN bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama antara sektor pendidikan dan industri.
Bengkel berkenaan dianjurkan bersama oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta program Kesalinghubungan Mampan EU-ASEAN – Pengajian Tinggi (SCOPE-HE).
Dalam pada itu, Sujiro berkata, penglibatan industri secara langsung dalam pembangunan TVET amat penting bagi memastikan latihan yang disediakan selari dengan keperluan sebenar pasaran pekerjaan.
Bengkel tersebut juga menjadi platform untuk meneroka model kerjasama lebih berkesan antara institusi pendidikan dan pihak industri di rantau ASEAN.
“Inisiatif ini merupakan langkah konkrit dalam melaksanakan Pelan Tindakan ASEAN-EU 2023–2027 dan komitmen kedua-dua pihak untuk memperdalam kerjasama dalam bidang TVET dengan berkongsi amalan terbaik dan memajukan standard latihan di peringkat serantau,” katanya.
Sebelum ini, bengkel pertama diadakan di Bangkok pada 2024, manakala bengkel kedua berlangsung di Phnom Penh pada 2025 dengan penekanan terhadap penyelesaian praktikal bagi cabaran industri.
Hasil perbincangan dalam bengkel kali ini dijangka akan diterjemahkan dalam bentuk model perkongsian serta syor praktikal yang bakal menyumbang kepada pembangunan peta jalan serantau TVET.
Pelan tersebut akan diperincikan lagi menerusi bengkel kemuncak yang dijadualkan berlangsung pada 2027 selaras dengan Pelan Kerja Majlis TVET ASEAN 2021–2030.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








