Baru dilantik, Katie Zacharia letak jawatan Setiausaha Akhbar White House
WASHINGTON – Katie Zacharia meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Akhbar White House selepas kurang lima hari memegang jawatan itu susulan kritikan terhadap prestasi dan kelayakan profesionalnya.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengesahkan pemergian Zacharia pada Jumaat, sambil menyatakan beliau telah memberi kebebasan kepada wanita itu untuk tidak meneruskan tugas berkenaan.
“Saya berkata kepadanya, ‘Anda tidak perlu melakukan ini jika tidak mahu’. Sejujurnya, jika saya berada di tempatnya, saya akan mempertimbangkannya semula,” kata Trump kepada pemberita.
Zacharia mula berdepan kritikan selepas mengendalikan taklimat media pertamanya pada Selasa yang berlangsung kira-kira 14 minit, dengan hanya beberapa soalan dikemukakan oleh wartawan.
Kontroversi kemudian tercetus berhubung latar belakang dan kelayakan profesionalnya, khususnya dakwaan bahawa beliau merupakan seorang peguam.
Isu itu memuncak pada Khamis apabila Zacharia mengakui tidak pernah lulus peperiksaan kelayakan guaman di AS, selepas kenyataan terdahulunya menimbulkan kekeliruan mengenai status profesionalnya.
Dalam wawancara media, beliau menjelaskan tidak pernah memberitahu Trump bahawa dirinya seorang peguam, sebaliknya menegaskan pelantikannya adalah untuk mengendalikan komunikasi dan bukannya urusan perundangan.
Peletakan jawatan itu menjadikan Zacharia antara individu yang paling singkat memegang jawatan Setiausaha Akhbar White House dalam sejarah moden pentadbiran AS.
Perkembangan berkenaan turut menjadi bahan kritikan Parti Demokrat yang menyifatkan pemergian mendadak itu sebagai gambaran masalah dalam pentadbiran Republikan.
Ia berlaku ketika parti politik di AS bersiap menghadapi pilihan raya pertengahan penggal pada November, yang bakal menentukan keseimbangan kuasa politik di Kongres.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







