Peminat perlu hormati privasi selebriti, jangan campuri urusan peribadi – Chech Harith
KUALA LUMPUR – Minat terhadap seseorang selebriti tidak seharusnya menjadi alasan untuk peminat melangkaui batas sehingga mencampuri urusan peribadi, termasuk latar belakang keluarga individu berkenaan.
Pelakon, Chech Harith berkata, sokongan peminat sewajarnya diberikan kepada hasil kerja dan perjalanan seni selebriti yang diminati, bukannya sehingga terdorong untuk menyelidik kehidupan peribadi mereka secara berlebihan.
Chech atau nama sebenarnya Che Harith Nazhan Che Rosli, 23, menyuarakan pandangan itu menerusi perkongsian di Threads yang menyifatkan tindakan menyelidik salasilah keluarga selebriti sebagai sesuatu yang tidak wajar.
“Selebriti juga perlu dilihat berdasarkan peranan mereka sebagai penggiat seni yang menghasilkan karya untuk tontonan umum, bukannya individu yang setiap aspek kehidupannya perlu diketahui peminat.
“Jadi, perasaan minat terhadap seseorang perlu disertai kesedaran tentang batas yang perlu dijaga.
“Peminat perlu tahu membezakan antara memberikan sokongan terhadap kerjaya seni seseorang dengan keinginan untuk mengetahui perkara yang berada di luar ruang peribadi selebriti terbabit,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon drama Kudrat 1968: High Council tersebut menasihatkan peminat supaya tidak membiarkan rasa kagum terhadap seseorang selebriti mendorong mereka melanggar privasi individu berkenaan, sebaliknya menghormati ruang peribadi yang wajar dikekalkan antara artis dan peminat.
Kata-kata itu turut mendapat perhatian pengguna media sosial apabila rata-rata netizen bersetuju bahawa peminat perlu menghormati privasi selebriti dan tidak menjadikan minat sebagai alasan untuk bertindak secara keterlaluan.
Chech merupakan antara pelakon yang membintangi siri drama Kudrat 1968: High Council menerusi watak Mazli Maznan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








