Idris Haron nafi spekulasi bakal tanding DUN Sungai Udang
MELAKA – Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron menafikan dakwaan bahawa beliau bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Memetik laporan MalaysiaGazette, Idris berkata beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung hasrat untuk bertanding semula di kawasan berkenaan, sebaliknya dakwaan yang tersebar ketika ini hanyalah spekulasi.
“Hasrat untuk bertanding di DUN Sungai Udang bukanlah sesuatu yang diumumkan oleh saya. Ia adalah spekulasi semata-mata,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Klebang, di sini, semalam.
Bagaimanapun, Idris tidak menolak kemungkinan mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak sekiranya menerima tawaran untuk bertanding pada PRN kali ini.
Menurutnya, kesediaan untuk mendengar cadangan dan mempertimbangkan tawaran tidak bermaksud beliau sudah membuat keputusan untuk menerima pencalonan.
“Ruang perbincangan sentiasa terbuka namun keterbukaan untuk berbincang tidak membawa maksud keputusan telah dibuat. Pihak lain tidak boleh menentukan pendirian saya,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkan sesuatu dakwaan, terutama dalam suasana politik yang menyaksikan pelbagai naratif tersebar dengan pantas.
“Apa yang tidak wajar ialah membentuk naratif seolah-olah keputusan telah dibuat sedangkan tiada pengumuman dibuat oleh empunya diri.
“Jangan anggap keterbukaan itu sebagai pengesahan dan jangan jadikan persepsi sebagai keputusan. Pendirian sebenar mestilah dirujuk kepada empunya diri,” ujarnya.
Tambah Idris, isu pencalonan di DUN Sungai Udang bukan hanya berkaitan pemilihan wakil rakyat, malah turut menguji kematangan politik serta kejujuran dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Untuk rekod, Idris pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang selama dua penggal, bermula 6 Mei 2013 hingga 4 Oktober 2021.
Beliau memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sebelum dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka ke-10 dari Mei 2013 hingga Mei 2018. Pada PRU-14, beliau sekali lagi mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 2,229 undi, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH).
Perkhidmatannya sebagai wakil rakyat Sungai Udang berakhir selepas DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober 2021 susulan penarikan sokongan empat ADUN terhadap kepimpinan kerajaan negeri ketika itu.
Sebelum menjadi ADUN, Idris pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Tangga Batu dari 2004 hingga 2013 dan turut memegang jawatan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








