LUAR NEGARA

Trump, Melania diiring keluar selepas bunyi letupan di majlis makan malam wartawan Rumah Putih

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan isterinya, Melania Trump diiring keluar oleh Pasukan Perkhidmatan Rahsia AS selepas beberapa bunyi tembakan ketika majlis White House Correspondents’ Dinner berlangsung di Hotel Washington Hilton, Sabtu malam.

Insiden itu mencetuskan panik dalam kalangan kira-kira 2,600 tetamu yang hadir termasuk pegawai kanan pentadbiran, wartawan, selebriti dan pengamal media, apabila ramai dilaporkan berlindung di bawah meja sementara petugas hotel bergegas meninggalkan dewan utama.

Trump mengumumkan menerusi Truth Social selepas insiden pemindahan itu bahawa beliau dan Melania berada dalam keadaan selamat dan acara tersebut akan dijadualkan semula dalam tempoh 30 hari akan datang selepas pihak penguat kuasa meminta semua hadirin meninggalkan lokasi.

“Pihak penguat kuasa telah meminta kami meninggalkan premis ini, selaras dengan protokol dan kami akan melakukannya serta-merta.

“Wanita Pertama, Naib Presiden serta semua anggota Kabinet berada dalam keadaan sempurna,” tulisnya.

Menurut saksi agensi berita antarabangsa, antara empat hingga enam dentuman kuat kedengaran berhampiran lokasi majlis, walaupun bunyi itu dilaporkan bukan dari dalam dewan utama.

trump
Trump ketika tiba pada majlis White House Correspondents’ Dinner di Washington.

Beberapa laporan media AS turut menyebut kemungkinan wujud ancaman bersenjata berhampiran lobi hotel.

Rakaman siaran langsung C-SPAN menunjukkan Melania kelihatan terkejut dan memandang ke arah hadirin sejurus sebelum ejen keselamatan bertindak pantas membawa beliau dan Trump keluar dari pentas.

Beberapa ejen Perkhidmatan Rahsia yang lengkap bersenjata dilihat memasuki dewan sambil mengarahkan orang ramai supaya kekal tunduk dan memberi laluan kepada pasukan keselamatan.

Rumah Putih kemudian mengesahkan Trump berada dalam keadaan selamat, manakala pihak berkuasa memaklumkan tiada kecederaan dilaporkan setakat ini.

Duta dan pegawai kanan pentadbiran Trump yang turut menghadiri acara tahunan berprestij itu juga dilaporkan dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Pengerusi White House Correspondents’ Association, Weijia Jiang kembali ke pentas kira-kira 30 minit kemudian dan memaklumkan bahawa program akan diteruskan selepas situasi keselamatan berjaya dikawal.

Pihak Perkhidmatan Rahsia memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar bunyi berkenaan serta sama ada ia melibatkan ancaman bersenjata.

Majlis White House Correspondents’ Dinner merupakan acara tahunan yang menghimpunkan pengamal media dan pemimpin tertinggi AS.

Kehadiran Trump tahun ini menjadi perhatian kerana ia merupakan penampilan pertamanya sebagai presiden dalam acara tersebut sejak kembali memegang jawatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button