Xi Jinping gesa China-AS jadi rakan strategik, bukan pesaing
BEIJING – Presiden China, Xi Jinping menggesa hubungan lebih erat dan kerjasama lebih kukuh antara China dan Amerika Syarikat (AS), sambil menegaskan kedua-dua kuasa besar dunia itu perlu mengelakkan konfrontasi demi kestabilan global.
Beliau menyampaikan perkara itu ketika mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden AS, Donald Trump sempena lawatan rasmi pemimpin negara itu ke Beijing, hari ini.
“Kita sepatutnya menjadi rakan, bukan pesaing. Kita perlu saling membantu untuk berjaya dan makmur bersama serta mencari jalan terbaik untuk dua kuasa besar hidup secara harmoni dalam era baharu,” katanya ketika berucap di Great Hall of the People.
Jinping berkata, dunia kini sedang berdepan perubahan besar yang belum pernah disaksikan sejak lebih satu abad lalu, selain menyifatkan keadaan antarabangsa ketika ini sebagai tidak menentu dan penuh cabaran.
“Seluruh dunia sedang memerhati pertemuan kita. Ketika ini, perubahan besar yang tidak pernah berlaku dalam satu abad sedang berlaku dengan pantas di seluruh dunia dan situasi antarabangsa semakin kompleks serta bergolak.
“Dunia kini berada di persimpangan baharu,” katanya memetik laporan New Indian Express.
Jinping turut membangkitkan persoalan sama ada Beijing dan Washington mampu melangkaui persaingan strategik dan membentuk kerangka hubungan baharu antara dua kuasa besar dunia itu.
Menurut beliau, China dan AS perlu mencari jalan untuk mengelakkan apa yang disebut sebagai ‘Perangkap Thucydides’ iaitu teori yang merujuk kepada risiko konflik apabila kuasa baharu mencabar dominasi kuasa sedia ada.
“Bolehkah China dan Amerika Syarikat mengatasi Perangkap Thucydides dan mewujudkan paradigma baharu hubungan antara negara besar?
“Bolehkah kita bersama-sama menangani cabaran global dan membawa lebih banyak kestabilan kepada dunia?” katanya.
Beliau berkata, persoalan itu bukan sahaja penting kepada kedua-dua negara, malah mempunyai kesan besar terhadap sejarah dunia dan masa depan manusia sejagat.
Jinping turut menegaskan bahawa kedua-dua negara akan memperoleh manfaat melalui kerjasama, namun akan mengalami kerugian jika memilih jalan konfrontasi.
“Saya sentiasa percaya bahawa negara kita mempunyai lebih banyak kepentingan bersama berbanding perbezaan. Kejayaan satu pihak adalah peluang kepada pihak yang lain.
“Hubungan dua hala yang stabil juga baik untuk dunia. China dan Amerika Syarikat akan mendapat manfaat daripada kerjasama dan rugi jika berlaku konfrontasi,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








