BERITA SEMASA

Kehadiran Trump ke Malaysia ada hikmah – PU Rahmat Ikhsan

KUALA LUMPUR – Kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke negara ini wajar dilihat sebagai satu peluang yang baik dan tidak seharusnya disambut dengan kecaman semata-mata.

Pendakwah bebas, PU Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan berkata, lawatan itu secara tidak langsung menunjukkan pengiktirafan terhadap kepentingan ASEAN dalam ekonomi dunia, sekali gus memberi ruang kepada Malaysia untuk mengangkat semula isu tarif dan dasar berkaitan industri semikonduktor.

donald trump
Trump dijangka menghadiri menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur bulan depan.

“Trump bukannya orang gila yang tidak tahu mengira untung rugi. Kehadirannya sedikit sebanyak mengiktiraf ASEAN dalam kek ekonomi dunia. Kita rugi jika tidak menggunakan peluang ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau menegaskan Malaysia juga berpeluang mengecam Trump secara lebih berani di tanah air sendiri meskipun kecaman terhadap Amerika Syarikat berhubung isu Palestin sudah lama bergema di pentas antarabangsa.

“Kali ini Malaysia berpeluang lebih gagah sedikit mengecam di rumah sendiri. Adakah menerima Trump tidak sensitif terhadap Gaza?

“Boleh jadi ya, tetapi saya percaya di mata rakyat Gaza, Malaysia sudah cukup besar jiwa kerana menjadi penaung rasmi Sumud Flotilla, satu-satunya negara Islam yang berani berbuat demikian sehingga digelar ‘enemy state’ oleh Israel,” jelasnya.

PU Rahmat turut menegaskan bahawa demonstrasi dan tekanan terhadap Trump tetap boleh diteruskan sebagai simbol ketidaksenangan rakyat terhadap dasar Amerika Syarikat.

Beliau mengibaratkan situasi itu seperti memanggil keluarga si pembuli ke rumah untuk minum petang, namun menyampaikan teguran tegas terlebih dahulu sebelum menjamu mereka.

“Silakan berbeza pendapat, saya bukan betul sentiasa dan kamu juga bukan betul semuanya,” katanya dalam catatan yang dimuat naik awal pagi tadi, kira-kira 11 jam sebelum berlepas ke Zon Kuning bersama armada Global Sumud Flotilla (GSF).

PU Rahmat Ikhsan merupakan salah seorang peserta misi kemanusiaan GSF yang belayar ke Gaza ketika ini.

Trump dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur bulan depan menerusi jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button