JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki bakar wanita dituduh cuba membunuh

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu e-hailing didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh seorang wanita dengan menyimbah petrol sebelum membakarnya di sebuah premis nombor ramalan di Taman Pusat Kepong, 9 Ogos lalu.

Tertuduh, Ang Kam Tong, 59, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuba membunuh Gan Siew Teen, 62, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius.

Kesalahan didakwa dilakukan pada pukul 7.51 pagi dan didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Shakila Mohd. Shariff tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan serius dan mangsa mengalami melecur tahap tiga.

Bagaimanapun, peguam Lee Keng Fatt memohon jaminan dengan alasan anak guamnya belum dibuktikan bersalah serta mempunyai pendapatan tidak tetap sebagai pemandu e-hailing.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 September ini untuk sebutan semula kes.

Mangsa sebelum ini dilaporkan melecur kira-kira 50 peratus pada tubuh dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam keadaan kritikal tetapi stabil.

Polis menahan tertuduh selepas sembilan hari diburu dan merampas beberapa barangan dipercayai berkaitan kejadian termasuk botol berisi cecair disyaki petrol, topi keledar, pakaian serta motosikal Yamaha 135LC.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button