BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki disyaki bunuh ibu ditahan polis, ujian air kencing negatif

ALOR SETAR – Lelaki berusia 28 tahun yang disyaki membunuh ibunya, seorang eksekutif operasi sebuah bank, didapati negatif dalam ujian saringan air kencing selepas ditahan polis malam tadi.

Dalam kejadian semalam, mangsa, Zahrullail Basir, 52, ditemui meninggal dunia dengan tiga kesan tikaman pada badan di rumahnya di Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, suspek ditahan pada pukul 8.34 malam oleh pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kedah dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Setar, kurang 24 jam selepas kejadian.

Penahanan suspek dilakukan di Kilometer 441.5 arah selatan, Lebuhraya Utara-Selatan, ketika suspek menaiki bas persiaran yang dalam perjalanan ke Selangor.

“Dia ditahan untuk membantu siasatan kes bunuh seorang wanita berusia 52 tahun yang berlaku di kawasan perumahan bandar raya ini semalam.

“Suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah namun hasil ujian saringan air kencing awal didapati negatif,” kata Syed Basri dalam kenyataan hari ini.

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar dan direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 9 Februari depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Syed Basri menasihatkan orang awam supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan.

“Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana individu yang menyebarkan maklumat palsu atau tidak benar, termasuk siasatan dan hukuman di bawah peruntukan undang-undang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button