BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Suspek culik remaja perempuan ditembak mati di Klang

KLANG – Pemburuan polis terhadap suspek kes culik di Seremban baru-baru ini berakhir tragis apabila suspek lelaki berusia 21 tahun maut ditembak selepas melepaskan tembakan ke arah polis.

Suspek yang menaiki kereta Proton Wira berwarna biru maut dalam kejadian di Jalan Bayu Tinggi, di sini, pada pukul 3 pagi tadi.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, dalam kes culik pada 10 April lalu, suspek melepaskan mangsa berusia 16 tahun selepas menerima bayaran wang tebusan berjumlah RM280,000 bersama barang kemas.

Katanya, selepas menerima wang tebusan, remaja perempuan yang diculik itu dibebaskan sehari kemudian di kawasan Sendayan, Negeri Sembilan.

“Dalam kereta suspek, polis menemui sepucuk pistol dan sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam penculikan dan pembebasan mangsa,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Tambahnya, beberapa lagi tangkapan berjaya dilakukan dalam siri operasi susulan yang digerakkan secara besar-besaran oleh pihak berkuasa.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat penting sehingga tertumpasnya sindiket penculikan berbahaya ini.

“Kerjasama rakyat amat penting dalam membantu pihak polis memastikan keselamatan masyarakat terus terpelihara,” katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh anggota polis.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button