BERITA SEMASA

Mangsa culik RM2 juta selamat diserahkan kepada keluarga 

JEMPOL – Mangsa culik yang dikaitkan dengan tuntutan wang tebusan sebanyak RM2 juta di Seremban baru-baru ini disahkan berada dalam keadaan baik serta telah diserahkan semula kepada keluarganya selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati mangsa hanya mengalami lebam dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

“Sehingga kini, keadaan mangsa adalah stabil dan pihak polis akan terus memantau tahap kesihatan serta keselamatan mangsa dari semasa ke semasa.

“Siasatan lanjut juga masih dijalankan termasuk usaha mengenal pasti sekiranya terdapat saki-baki suspek yang masih bebas,” katanya menurut laporan KOSMO! ONLINE

Pada 14 April lalu, enam individu termasuk tiga wanita berusia antara 20 hingga 31 tahun telah direman selama 14 hari sehingga 27 April ini bagi membantu siasatan berhubung kes penculikan seorang remaja perempuan yang berlaku pada 10 April di Seremban.

Dalam pada itu, seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam insiden penculikan berkenaan telah ditembak mati oleh polis dalam satu operasi di Bandar Bukit Tinggi, Klang pada awal pagi 14 April lalu.

Polis sebelum ini mendedahkan bahawa penculikan tersebut melibatkan tuntutan wang tebusan berjumlah RM2 juta, dipercayai bermotifkan keuntungan kewangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button