Keluarga Zara Qairina persoal siasatan polis, dakwa bukti penting tidak diambil
KUALA LUMPUR – Pasukan peguam mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir mempersoalkan tindakan polis yang didakwa tidak mengambil pakaian dan barang peribadi mangsa ketika ditemui meninggal dunia di bawah bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar, Sabah pada 16 Julai lalu.
Peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri dalam kenyataan bersama hari ini berkata, semua pakaian dan barang milik Zara telah diserahkan oleh pihak hospital kepada ibu mangsa pada hari kejadian dan kini berada dalam jagaan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik keluarga.
“Sejak 17 Julai 2025 sehingga hari ini, polis tidak pernah mengambil atau memohon daripada anak guam kami untuk mendapatkan semua pakaian dan barang tersebut bagi tujuan siasatan.
“Kami sangat terkejut dengan perkara ini kerana sepanjang pengalaman kami mengendalikan kes jenayah, polis akan merampas semua item yang dipakai mangsa yang disyaki mati akibat tindakan jenayah untuk tujuan siasatan,” katanya lagi.
Menurut mereka, pakaian dan barang berkenaan adalah bahan bukti penting yang perlu diperiksa dan dianalisis secara forensik bagi menentukan sama ada kematian Zara melibatkan unsur jenayah.
“Kegagalan pihak polis berbuat demikian menimbulkan tanda tanya serius sama ada siasatan mereka hanya tertumpu kepada teori mati mengejut atau bunuh diri sahaja, sedangkan ibu Zara sudah memfailkan beberapa laporan polis memohon siasatan berkenaan kematian Zara yang disyaki mempunyai unsur jenayah.
“Oleh itu, kami berpendapat bahawa kertas siasatan yang sudah dihantar ke Jabatan Peguam Negara adalah tidak lengkap, tidak menyeluruh dan hanya memfokuskan satu sudut sahaja.
“Lebih membimbangkan, tiada bedah siasat dilakukan ke atas jenazah Zara sebelum pengebumiannya,” katanya lagi.
Dalam masa sama, pasukan guaman itu merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinannya terhadap kes Zara.
“Kami berharap Perdana Menteri dapat menasihati Peguam Negara agar mengembalikan kertas siasatan kepada pihak polis dan bersetuju dengan cadangan kami untuk mengadakan bedah siasat dan inkues secepat mungkin bagi menentukan punca sebenar kematian Zara serta sama ada wujud unsur jenayah,” katanya lagi.
Sebelum ini, Anwar memberi jaminan tiada mana-mana pihak, termasuk pelaku kes yang dikaitkan dengan insiden buli membabitkan kematian Zara, akan dilindungi.
Perdana Menteri menegaskan kematian sedemikian tidak boleh dipandang ringan dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan mendalam dengan kadar segera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment