Trump beri amaran keras kepada kepimpinan baharu Venezuela selepas penahanan Maduro
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengeluarkan amaran keras terhadap kepimpinan baharu Venezuela dengan memberi bayangan tindakan lebih berat akan diambil sekiranya mereka enggan bekerjasama dengan Washington, susulan penahanan bekas presiden negara itu, Nicolas Maduro.
Trump berkata, Presiden interim Venezuela, Delcy Rodriguez akan berdepan ‘harga yang sangat mahal’ sekiranya gagal memenuhi tuntutan AS, memetik laporan media antarabangsa.
“Jika Presiden interim tidak melakukan perkara yang betul, dia akan membayar harga yang sangat besar, mungkin lebih besar daripada Maduro,” katanya dalam temu bual telefon bersama The Atlantic.
Sabtu lalu, pasukan AS melancarkan serangan ke atas Caracas termasuk mengebom beberapa sasaran ketenteraan, sebelum membawa keluar Maduro dan isterinya untuk berdepan pertuduhan persekutuan berkaitan pengedaran dadah di New York.

Maduro yang digulingkan itu dijadualkan hadir di Mahkamah Manhattan hari ini.
Pentadbiran Trump menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan Venezuela sekiranya matlamat Washington dipenuhi, khususnya membabitkan akses pelaburan AS ke atas rizab minyak mentah Venezuela yang besar.
Trump turut mendakwa AS akan mentadbir Venezuela dalam tempoh tertentu.
Bagaimanapun, walaupun operasi awal AS disifatkan berjaya, langkah itu mencetuskan kebimbangan terhadap hala tuju dasar luar Trump.
Pemimpin Demokrat tertinggi di Senat, Chuck Schumer berkata, rakyat AS kini dibiarkan dalam keadaan keliru dan takut.
Sebaliknya, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio menegaskan Washington tidak berniat untuk melakukan perubahan rejim sepenuhnya atau mengadakan pilihan raya baharu di negara Amerika Selatan berpenduduk kira-kira 30 juta orang itu.
“Daripada menjatuhkan keseluruhan kerajaan Maduro, kami akan membuat penilaian berdasarkan tindakan mereka.
“AS memerangi pengedar dadah, bukan berperang dengan Venezuela,” katanya kepada program NBC, Meet the Press.
Namun, Rubio mengesahkan kehadiran tentera laut AS dalam jumlah besar akan kekal di Caribbean bagi menguatkuasakan sekatan eksport minyak Venezuela sebagai bentuk tekanan berterusan.
Dalam pada itu, Rodriguez mengambil pendirian tegas dengan menegaskan Maduro masih merupakan satu-satunya pemimpin sah Venezuela.
“Kami bersedia mempertahankan sumber semula jadi kami,” katanya dalam kenyataan pertamanya sejak serangan AS dilancarkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








