Persiapan Hari Kebangsaan 2026 capai lebih 70 peratus – Fahmi
PUTRAJAYA – Persiapan sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya kini melepasi 70 peratus dan dijangka mencapai tahap antara 80 hingga 90 peratus dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, beberapa persiapan termasuk tangga kambing dan pentas diraja masih dalam proses pemasangan.
“Jadi dalam masa beberapa hari ini saya jangka kita akan capai 80 hingga 90 peratus dalam masa beberapa hari,” katanya selepas sesi penyerahan sumbangan penajaan oleh rakan strategik kepada peserta Human Graphics sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, hari ini.
Baca juga : PRN Melaka: Fahmi sahkan Amirudin bertemu Anwar
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata orang ramai berpeluang menyaksikan raptai penuh sambutan pada Jumaat dan Sabtu, 28 dan 29 Ogos ini.
Fahmi turut mengingatkan orang ramai bahawa MRT akan beroperasi selama 24 jam antara 30 dan 31 Ogos bagi memudahkan mereka yang ingin hadir ke Dataran Putrajaya.
“Jadi kepada yang ingin datang ke Dataran Putrajaya mereka boleh merangka dan juga merancang perjalanan dengan lebih baik,” katanya.
Selain itu, beliau berkata perkhidmatan teksi air atau water taxi secara percuma turut disediakan untuk tahun ketiga bagi pengunjung yang ingin menggunakan laluan perjalanan berbeza sambil menikmati tarikan di sekitar Putrajaya.
Mengulas keadaan jerebu ketika ini, Fahmi berkata, pihaknya akan mendapatkan nasihat daripada Jabatan Meteorologi dan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung aspek kesihatan dan prosedur operasi standard (SOP) untuk sambutan berkenaan.
Katanya, beliau sudah mengarahkan perkara itu diteliti dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan pada minggu lalu.
“Saya telah mengarahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk sambutan Hari Kebangsaan pada minggu lalu isu-isu SOP berkaitan kesihatan perlu kita dapatkan dan kita akan keluarkan dalam masa yang terdekat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








