BERITA SEMASAPOLITIK

Fahmi nafi wujud nepotisme, Nurul Izzah adalah Naib Presiden PKR

PUTRAJAYA – Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Fahmi Fadzil menafikan wujud amalan nepotisme dalam pemilihan parti itu berikutan ramai pimpinan parti menyatakan sokongan kepada Nurul Izzah Anwar.

“Tidak benar (dakwaan wujud nepotisme). Nurul Izzah sekarang adalah Naib Presiden PKR.

“PKR meraikan demokrasi dan kita serahkan kepada kebijaksanaan anggota untuk membuat pilihan pemimpin yang mereka rasakan dengan harapan serta aspirasi untuk penggal 2025-2028,” katanya pada sidang media di Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.

Terdahulu melalui satu kenyataan, PKR Wilayah Persekutuan menyatakan sokongan penuh kepada Nurul Izzah sebagai calon Timbalan Presiden pada pemilihan sesi 2025-2028.

“Melalui beberapa siri libat urus bersama akar umbi di peringkat nasional, PKR Wilayah Persekutuan mempunyai keyakinan teguh bahawa Nurul Izzah bakal menerima sokongan padu selaku figura utama yang akan memberi nafas baharu dalam menguatkan jentera parti dalam mendepani PRU-16 yang akan datang.

“Gelaran Puteri Reformasi dinobatkan kepada beliau yang sekian lama berdiri di atas kaki sendiri menempa nama sebagai pemimpin parti yang sebati dengan liku-liku perjuangan yang memberikan Nurul Izzah pengalaman luas mengemudi bahtera parti,” tulis Fahmi yang juga Ketua Cabang PKR Lembah Pantai melalui satu hantaran di Facebook.

Sokongan itu, tegas beliau bukanlah atas nama hubungan atau nostalgia sejarah perjuangan semata, tetapi atas keyakinan terhadap kapasiti dan integriti beliau sebagai pemimpin masa depan parti.

“PKR memerlukan sosok seperti Nurul Izzah yang mempunyai diplomasi yang tinggi untuk merapatkan saf dan menyatukan kekuatan dalaman serta memperkukuh jalinan bersama rakan-rakan gabungan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button