Pelajar SK Bangsar teruja temu bual Menteri Komunikasi
KUALA LUMPUR – Pengalaman menemubual Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menjadi detik manis yang tidak akan dilupakan oleh pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Bangsar, Ahmad Nur Affan Kamarudin.
Affan yang juga ahli kelab Media SK Bangsar berkata, peluang itu sangat istimewa dan tidak selalu diperoleh oleh pelajar sepertinya.
“Saya rasa sangat teruja dan gembira kerana ini bukan peluang yang selalu kita dapat. Kalau ada peluang lain, saya mahu menemubual menteri-menteri lain juga,” katanya kepada Malaysia Tribune selepas sesi berkenaan.
Murid yang bercita-cita menjadi wartawan penyiaran itu turut menyatakan hasrat untuk terus belajar dan mendalami bidang kewartawanan satu hari nanti.
Sementara itu, Fahmi dalam reaksinya menjanjikan satu lawatan khas untuk ahli Kelab Media SK Bangsar ke Kompleks Angkasapuri RTM dalam masa terdekat.
Menurut beliau, lawatan tersebut bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang dunia penyiaran dan bagaimana proses berita dijalankan di peringkat profesional.
“Saya harap dengan peluang ini, mereka dapat melihat sendiri bagaimana berita dan program penyiaran dihasilkan. Mungkin ini akan mencetuskan minat lebih mendalam dalam bidang kewartawanan,” katanya lagi.
Fahmi turut memuji semangat dan keyakinan yang ditunjukkan oleh Affan serta berharap lebih banyak sekolah menubuhkan kelab media sebagai platform membina bakat muda dalam dunia komunikasi dan penyiaran negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








