JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah Rayuan tolak saman RM100 juta Indira Gandhi

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan M. Indira Gandhi untuk meneruskan saman RM100 juta terhadap polis dan kerajaan berhubung kegagalan mengesan anak perempuannya, Prasana Diksa.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan bagaimanapun mendapati terdapat kelemahan ketara dalam keterangan polis berkaitan usaha melaksanakan waran tangkap terhadap bekas suami Indira, K. Pathmanathan atau Muhammad Riduan Abdullah.

Panel turut dianggotai Datuk Faizah Jamaludin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid.

Dalam keputusan sebulat suara yang dibacakan Faizah, mahkamah mendapati Indira gagal membuktikan wujud hubungan langsung antara sebarang kegagalan polis dengan kegagalan menangkap Pathmanathan atau mendapatkan semula Prasana.

Menurut beliau, Indira perlu membuktikan bahawa tindakan atau kegagalan pihak responden secara langsung menyebabkan kerugian yang dituntut dan kerugian itu berkemungkinan dapat dielakkan sekiranya tindakan sewajarnya diambil.

Mahkamah berkata, ganti rugi di bawah undang-undang sivil tidak boleh diberikan semata-mata kerana berlaku kelemahan pentadbiran.

Faizah turut berkata, rekod imigresen menunjukkan Pathmanathan kali terakhir direkodkan keluar dari Malaysia pada 19 Mac 2014, namun tiada bukti yang boleh diterima mahkamah mengenai bila atau di mana beliau kembali ke negara ini.

“Kemungkinan sahaja tidak mencukupi untuk memenuhi imbangan kebarangkalian,” katanya di sini hari ini.

Bagaimanapun, panel mendapati terdapat kelemahan dalam keterangan polis berhubung usaha melaksanakan waran terhadap Pathmanathan.

Antaranya, tiada arahan atau perintah kontemporari daripada Ketua Polis Negara ketika itu dalam tempoh tujuh hari dikemukakan kepada mahkamah.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador, turut mengakui kelewatan mengeluarkan arahan di seluruh negara adalah perlahan, malah amat perlahan.

Mahkamah turut menyentuh kelemahan dokumentasi berkaitan Special Task Force on Organised Crime (STAFOC), termasuk arahan, tindakan yang diambil dan hasil usaha pasukan berkenaan.

Namun, mahkamah menegaskan kelemahan berkenaan tidak bermakna keseluruhan siasatan polis adalah palsu atau sekadar satu sandiwara.

Faizah turut menegaskan keputusan itu tidak boleh dianggap memberi kekebalan kepada polis atau bermaksud kegagalan mematuhi serta melaksanakan perintah dan waran mahkamah tidak mempunyai implikasi undang-undang.

Indira memfailkan saman berkenaan pada 28 Oktober 2020 dengan menamakan Hamid, polis, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai defendan.

Kes itu berkaitan usaha Indira mendapatkan semula Prasana yang dibawa pergi Pathmanathan pada Mac 2009 ketika anaknya itu berusia 11 bulan.

Pada 11 Mac 2010, Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan hak penjagaan, pemeliharaan dan kawalan terhadap tiga anak mereka kepada Indira serta mengarahkan Pathmanathan menyerahkan Prasana kepadanya.

Pada 30 Mei 2014, Mahkamah Tinggi memerintahkan Pathmanathan dipenjarakan sehingga beliau mematuhi perintah menghina mahkamah dengan menyerahkan Prasana.

Mahkamah Persekutuan pada 29 April 2016 pula memutuskan Ketua Polis Negara ketika itu tidak boleh enggan mengarahkan pegawai polis melaksanakan waran komital terhadap Pathmanathan.

Keputusan hari ini dibuat tanpa perintah kos terhadap Indira.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button