Peniaga didakwa bunuh lelaki dalam kes rempuh motosikal di Kapar
KLANG – Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan membunuh seorang lelaki dalam kejadian merempuh dua individu bermotosikal di Jalan Keretapi Lama, Tok Muda, Kapar minggu lalu.
Tertuduh, R Ganesalingam, 49, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Karthiyayini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Malaysia.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian K Tinesh Kumar, 33, di hadapan simpang masuk Taman Seri Kapar, Kapar kira-kira jam 9.46 hingga 9.47 pagi pada 5 Mac lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan Malaysia yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 April depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Syuhada Rosli manakala tertuduh diwakili peguam K Nathiya.
Sebelum ini, media melaporkan dua lelaki yang menaiki motosikal jenis Yamaha Y15ZR dipercayai melepaskan tembakan ke arah seorang pemandu lori di Kampung Perepat sebelum dikejar majikan mangsa hingga ke Jalan Keretapi Lama.
Tertuduh kemudian melanggar motosikal berkenaan selepas salah seorang daripada mereka mengacukan objek menyerupai pistol sebelum kedua-duanya terjatuh dan terseret di simpang masuk Taman Seri Kapar.
Semakan mendapati lelaki yang maut mempunyai 23 rekod jenayah, manakala rakannya yang cedera mempunyai 10 rekod jenayah selain dikehendaki polis di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan Malaysia.
Majikan yang merempuh motosikal itu pula dilaporkan mempunyai rekod kes dadah serta kesalahan jenayah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan Malaysia dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








