LUAR NEGARA

Pembunuhan dua beradik Rusia bongkar kehilangan tiga beranak di Thailand

BANGKOK – Penahanan dua suspek yang mengaku membunuh dua beradik warga Rusia di wilayah Chon Buri beberapa hari lalu membawa kepada penemuan satu lagi tragedi apabila polis menemukan mayat tiga sekeluarga warga Thailand yang dilaporkan hilang sejak dua bulan lalu.

Dua suspek terbabit, Thana Kerdthong, 43, dan Thongchai Srinil, 39, diberkas polis pada Jumaat lalu sebelum membawa polis ke lokasi mayat dua beradik warga Rusia ditanam di kawasan hutan daerah Bang Lamung.

“Mangsa dikenal pasti sebagai Diana Nazimova, 22, dan adiknya, Roman Nazimov, 17, yang dilaporkan hilang sejak 26 Julai lalu.

“Mayat kedua-dua mangsa ditemukan dalam satu kubur sedalam kira-kira satu meter.

“Pemeriksaan awal mendapati Diana mengalami kesan dipukul, manakala Roman ditembak sekali di kepala dan sekali di bahagian perut,” menurut Pesuruhjaya Polis Wilayah 2, Leftenan Jeneral Chatchai Surachetphong seperti dilaporkan Bangkokpost.

Diana Nazimova dan adiknya Roman Nazimov yang ditemukan dibunuh dan ditanam di kawasan hutan di Thailand, baru-baru ini. Kredit: Bangkok Post

Terbaharu, siasatan membawa kepada penemuan lebih menggemparkan apabila polis menemukan mayat sepasang suami isteri bersama anak perempuan mereka yang ditanam dalam satu kubur di sebuah ladang kelapa, kira-kira dua kilometer dari lokasi mayat dua beradik Rusia itu ditemukan.

Penemuan itu dibuat selepas Thana mengaku turut bertanggungjawab membunuh keluarga berkenaan dengan motif samun.

Menurut pengakuan suspek, mereka menyamar sebagai anggota polis sebelum memasuki rumah mangsa di Bang Lamung dan menggari lelaki berusia 53 tahun serta isterinya yang berusia 50 tahun.

Anak perempuan pasangan itu yang berusia 18 tahun yang baharu pulang dari sebuah kedai serbaneka turut ditahan.

Ketiga-tiga mangsa kemudian dibawa ke lokasi lain, ditembak mati sebelum mayat mereka ditanam bagi menghapuskan bukti.

Adik kepada wanita yang dibunuh, dikenali sebagai Tukta, tidak dapat menahan sebak ketika bercakap kepada media dan berkata keluarganya telah berusaha mencari kakaknya, abang ipar dan anak saudara mereka sejak kehilangan ketiga-tiga mangsa.

Menurutnya, kereta, motosikal serta barangan milik keluarga itu masih berada di rumah tanpa sebarang tanda berlaku pergaduhan atau samun.

Katanya, ahli keluarga turut membawa makanan kepada anjing peliharaan di rumah berkenaan selama lebih sebulan dan berulang kali menghubungi telefon bimbit mangsa, namun semua panggilan tidak dijawab.

Tukta percaya misteri kehilangan keluarganya mungkin tidak akan terbongkar sekiranya polis tidak menyiasat kes pembunuhan dua beradik warga Rusia itu.

Polis kini sedang mengesahkan pengakuan Thana serta menyiasat kemungkinan suspek terbabit mempunyai kaitan dengan beberapa jenayah lain.

Sementara itu, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, membatalkan semua program rasminya di Suphan Buri pada Sabtu bagi membolehkan beliau berkunjung ke Chon Buri untuk mengikuti perkembangan siasatan kes pembunuhan berprofil tinggi berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button