BERITA SEMASALUAR NEGARA

Thailand aktifkan amaran cuaca di 33 wilayah berisiko

BANGKOK – Kerajaan Thailand mengarahkan 33 wilayah di negara itu bersiap sedia susulan ramalan hujan lebat berterusan pada minggu ini yang dijangka mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh.

Timbalan Jurucakap Kerajaan, Sasikan Watthanachan berkata, Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) telah mengeluarkan amaran kepada kawasan utara, timur laut, tengah dan selatan negara itu.

“Semua agensi di kawasan berisiko tinggi diminta bersedia 24 jam untuk sebarang kemungkinan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kawasan yang mencatat hujan melebihi 90 milimeter dalam 24 jam serta lokasi yang kerap dilanda banjir akan dipantau rapi.

“Benteng banjir perlu diperiksa, saliran dibersihkan dan aliran air dari hulu ke hilir diurus dengan sistematik,” ujarnya.

Tarikan semula jadi seperti air terjun dan gua turut dipantau pihak berkuasa susulan amaran hujan lebat, dan akan ditutup serta-merta sekiranya dikenal pasti berisiko kepada pengunjung.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa peka dengan perkembangan semasa melalui aplikasi ‘Thai Disaster Alert’ serta saluran rasmi Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM).

Sebagai langkah tambahan, sistem amaran kecemasan melalui siaran sel turut diaktifkan sepenuhnya di seluruh negara bagi memastikan maklumat dapat disampaikan dengan pantas dan menyeluruh.

Kesiapsiagaan itu penting susulan kejadian banjir besar di selatan Thailand pada November lalu yang meragut 29 nyawa dan menjejaskan lebih 100,000 keluarga.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button