BERITA SEMASALUAR NEGARA

Penjaga zoo maut diserang singa di Safari World Bangkok

BANGKOK – Seorang penjaga zoo berusia dalam lingkungan 50-an maut akibat diserang beberapa ekor singa di Safari World Bangkok yang merupakan salah satu taman safari terbuka terbesar di Asia, semalam.

Menurut Pengarah Perlindungan Hidupan Liar Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan Thailand, Sadudee Punpugdee, mangsa yang bertugas memberi makan haiwan berkenaan dipercayai diserang enam hingga tujuh ekor singa ketika keluar dari kenderaannya.

Seorang pengunjung, Dr Tavatchai Kanchanarin, yang menyaksikan insiden itu berkata, beliau melihat mangsa berdiri sendirian di luar kenderaan tanpa perlindungan.

“Dia berdiri dengan membelakangkan haiwan selama kira-kira tiga minit sebelum seekor singa datang perlahan-lahan lalu menerkamnya dari belakang. Dia langsung tidak menjerit,” katanya kepada stesen televisyen Thairath.

Pengasas Pertubuhan Friends of Wildlife Foundation Thailand, Edwin Wiek menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa sambil menegaskan insiden itu membuktikan bahawa singa walaupun dibela sejak kecil tetap berbahaya dan mampu bertindak agresif tanpa amaran.

Seorang pegawai kanan zoo yang enggan dinamakan berkata mangsa merupakan penyelia berpengalaman lebih 30 tahun dan digambarkan sebagai seorang pekerja yang baik hati.

Di Thailand, pemilikan singa adalah sah dan populasinya dilaporkan semakin meningkat dengan hampir 500 ekor telah didaftarkan untuk peliharaan di zoo, ladang pembiakan, kafe haiwan dan rumah persendirian.

Sementara itu, pertubuhan hak asasi haiwan, People for the Ethical Treatment of Animals (PETA), menggesa Safari World memindahkan semua singa berkenaan ke pusat perlindungan kerana haiwan itu hanya bertindak mengikut naluri semula jadi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button