‘Menjadi perantara dalam perdamaian lebih menyeronokkan daripada bermain golf’ – Trump
Trump turut puji peranan Anwar dalam perjanjian damai tersebut
KUALA LUMPUR – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyifatkan menjadi perantara dalam perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja adalah “lebih menyeronokkan” berbanding bermain golf.
Berucap semasa majlis menandatangani perjanjian damai yang dikenali sebagai Kuala Lumpur Peace Accord, Trump berkata, perjanjian damai tersebut adalah salah satu pencapaian yang paling dibanggakan dalam pentadbirannya.
“Sebenarnya ketika itu saya berada di Turnberry (resort golf) di Scotland. Hari itu cantik, tetapi saya berkata ini jauh lebih penting daripada bermain satu pusingan golf, jadi kami duduk sepanjang hari membuat panggilan telefon.
“Saya mungkin akan berseronok (bermain golf) tetapi ini (rundingan damai) jauh lebih menyeronokkan bagi saya kerana anda sedang menyelamatkan orang dan menyelamatkan negara,” katanya.
Beliau berkata, perjanjian damai tersebut adalah antara lapan konflik yang berjaya diselesaikan pentadbirannya dalam tempoh lapan bulan.
“Kami puratanya menyelesaikan satu konflik sebulan. Tiada yang pernah berlaku seperti ini dalam sejarah. Tidak pernah. Dan ia tidak akan berlaku juga.
“Saya tidak dapat ingat mana-mana presiden (AS) yang pernah menyelesaikan perang. Mereka memulakan perang, tetapi mereka tidak menyelesaikannya.
“Jadi, tiada apa yang pernah dilakukan seperti ini dalam sejarah, dan merupakan satu penghormatan untuk terlibat (dalam prosesnya),” katanya.
Thailand dan Kemboja hari ini menandatangani satu perjanjian damai bersejarah yang membuka laluan bagi menamatkan pertempuran yang telah meragut banyak nyawa.
Perjanjian tersebut ditandatangani oleh oleh Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, sambil disaksikan Trump dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Trump kemudian turut memuji Anwar di atas peranannya dalam perjanjian damai tersebut.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Anwar. Saya menghubunginya pada awalnya dan berkata, ‘Anda mempunyai dua negara yang bertelingkah di sebelah anda. Kita memerlukan tempat ketiga, tempat neutral,’ dan beliau berada di sana.
“Perdana Menteri (Anwar) memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu menghimpunkan kedua-dua pihak untuk perbincangan di sini, di Kuala Lumpur,” kata Trump lagi
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








