BERITA SEMASASUKAN

Thailand jinakkan Malaysia 2-0, rangkul kejuaraan ASTAF Sepaktakraw Asian Cup 2025

KUALA LUMPUR – Penantian Malaysia selama 34 tahun untuk menjulang kejuaraan dalam acara regu berpasukan lelaki di kejohanan peringkat Asia terus berlanjutan apabila skuad negara tewas 0-2 kepada Thailand dalam aksi final ASTAF Sepaktakraw Asian Cup Kuala Lumpur 2025, hari ini.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Titiwangsa pada pukul 4.00 petang itu menyaksikan Regu 1 negara memberi tentangan sengit apabila mengheret perlawanan ke set penentuan sebelum tunduk kepada regu utama Thailand dengan keputusan 15-11, 12-15 dan 17-15.

Regu 2 pula cuba bangkit, namun gagal menandingi keampuhan lawan yang terus mencatat kemenangan dengan mata 15-13, 13-15 dan 15-4, sekali gus memastikan gelaran juara menjadi milik skuad Gajah Perang itu.

Thailand tidak perlu menurunkan Regu 3 selepas kemenangan dua regu pertama sudah mencukupi untuk mengesahkan kemenangan 2-0 ke atas Malaysia.

Secara keseluruhan, Thailand mengumpul 87 mata berbanding 73 mata diraih Malaysia dalam dua regu yang dipertandingkan.

Tinjauan sepanjang aksi turut menyaksikan beberapa cabaran (challenge) dikemukakan oleh kedua-dua pasukan membabitkan keputusan servis, jaring dan garisan.

Bagaimanapun, semua cabaran tersebut tidak memberi kesan besar terhadap keputusan perlawanan.

Perlawanan akhir itu dikendalikan oleh Ahmad Jamalong dari Indonesia selaku pengadil rasmi, bersama barisan pegawai teknikal dari Singapura, Filipina, Vietnam dan Korea Selatan.

Kejayaan Thailand itu sekali lagi menegaskan status mereka sebagai kuasa besar sepaktakraw Asia, manakala Malaysia pula perlu segera melakukan penilaian semula terhadap prestasi skuad negara yang masih dibayangi penantian 34 tahun untuk mengakhiri kemarau kejuaraan dalam acara regu berpasukan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button