SUKAN

Konflik tidak jejas Kejohanan Dunia Sepaktakraw di Hatyai – ASTAF jamin keselamatan sepanjang acara

HATYAI – Kejohanan Dunia Sepaktakraw Piala Raja Thai ke-38 yang sedang berlangsung di sini berjalan lancar dan tidak terjejas di sebalik ketegangan di kawasan sempadan Thailand-Kemboja.

Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader menegaskan bahawa situasi keselamatan di Hatyai kekal terkawal dan selamat untuk semua peserta dan penyokong, khususnya dari Malaysia dan Singapura.

“Insiden di sempadan tidak memberi sebarang kesan langsung terhadap kejohanan ini. Lokasinya terlalu jauh kira-kira 900 kilometer dari sini dan tiada sebarang ancaman keselamatan di kawasan Hatyai,” katanya dalam kenyataan rasmi sebagai Presiden ASTAF dan Penasihat Kejohanan.

Beliau turut memberi jaminan bahawa penganjur bersama pihak berkuasa tempatan telah mengambil langkah keselamatan proaktif termasuk penempatan anggota keselamatan di hotel rasmi pasukan serta venue utama kejohanan, Hatyai Hall di Central Festival Mall.

Katanya, taklimat keselamatan juga diadakan bersama semua pengurus pasukan bagi memaklumkan langkah-langkah tambahan yang telah diambil.

“Semua pasukan dinasihatkan untuk kembali ke tempat penginapan sejurus tamat perlawanan sebagai langkah berjaga-jaga.

“Polis Diraja Thailand dan agensi penguat kuasa tempatan telah digerakkan sepenuhnya. Fokus kami adalah memastikan kejohanan berlangsung dalam suasana selamat, meriah dan berprestij,” jelas Abdul Halim.

Tambah beliau, suasana di Hatyai terus meriah dengan sambutan hangat penyokong serantau dan semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan 18 pasukan kebangsaan yang bertanding.

Beliau turut menyeru agar para penyokong dari Malaysia dan Singapura hadir memberi sokongan penuh kepada pasukan masing-masing sambil menjadikan temasya ini sebagai simbol perpaduan dan keamanan serantau.

Kejohanan Sepaktakraw Dunia Piala Raja Thai ke-38 berlangsung dari 24 hingga 28 Julai 2025 di Hatyai, Wilayah Songkhla, Thailand.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button