
Klinik STL 2023 semarak semangat pelajar minat sukan sepak takraw
KUALA LUMPUR – Sepanjang saingan Emas Anuar Sepak Takraw League (STL 2023) berlangsung, Astro mengambil inisiatif dan peluang untuk mengadakan Klinik STL dan juga sesi beramah mesra bersama hos dan pemain-pemain STL.
Baru-baru ini, Klinik STL ini telah diadakan di Sekolah Antarabangsa, Sri Kuala Lumpur, Subang dan dihadiri seramai 500 pelajar.
Ketika saingan STL menjelajah ke Negeri Sembilan pada Jun lalu, klinik ini juga telah diadakan di SMK Seri Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan dan dihadiri seramai 700 orang pelajar.
Menurut Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John, Astro sentiasa memberi sokongan dalam membangun dan melestarikan sukan negara dan menerusi Astro Arena, program pertama kali seperti ini diadakan di sekolah-sekolah terpilih bagi mempromosikan aktiviti sukan tradisi ini di peringkat akar umbi.
“Selain mencungkil bakat-bakat baru dan membawa jenama STL dikenali di peringkat akar umbi, kinik yang diadakan ini adalah untuk memberi peluang kepada pemain-pemain STL yang juga merupakan pemain kebangsaan dan professional untuk mendekatkan diri mereka bersama komuniti dan mempamerkan aksi mereka dalam menarik lebih ramai pelajar meminati sukan ini.” katanya.
Jelasnya lagi, klinik ini akan terus diadakan ke sekolah-sekolah terpilih lain secara berperingkat serta perancangan dan penambahbaikan berterusan akan diadakan pada musim akan datang.
Sementara itu, bekas pemain sepak takraw negara, Azlan Mubin yang juga merupakan hos STL berkata, pengenalan STL dan klinik yang diadakan ini dapat memberi peluang buat pelajar-pelajar tidak kira golongan bangsa untuk mempelajari sukan tradisi ini.
“Sukan Sepak takraw cukup sinonim dengan bangsa Melayu, tapi dengan pendedahan di peringkat akar umbi seperti di sekolah, saya melihat ramai pelajar lain termasuk Cina dan India turut serta dan menunjukkan minat dan teruja dengan sukan ini dan ianya adalah perkembangan yang cukup positif,” katanya.
Katanya lagi, sekiranya semua pihak ingin melihat pencapaian skuad negara lebih maju pada masa hadapan, semua pihak termasuk pihak sekolah, ibu bapa dan persatuan seharusnya berganding bahu menyemarakan lagi kegiatan sukan di sekolah.
“Pendedahan sukan takraw seharusnya bermula di peringkat sekolah dan pendekatan ini jugalah yang dilakukan oleh kuasa besar sepak takraw dari negara jiran iaitu Thailand dengan mencari pelapis-pelapis baru dengan mewajibkan sukan ini di setiap sekolah dengan memupuk semangat mereka untuk mempelajari sukan ini,” katanya.
Saingan STL yang sedang berlangsung kini sudah memasuki minggu ke enam di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur dan akan menamatkan saingannya pada 23 Julai nanti, sementara STL Champion Cup pula akan berlangsung pada 30 Julai hingga 5 Ogos 2023 di Iskandar Malaysia Studios, Johor.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








