Kerajaan pertimbang benarkan semula import daging babi dari Thailand
KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk membenarkan semula pengimportan daging babi diimport dari Thailand, susulan penilaian risiko wabak demam babi Afrika (ASF) yang dijalankan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bagaimanapun berkata, kebenaran itu tertakluk pada pematuhan sepenuhnya terhadap keperluan import yang telah dipersetujui bersama pihak berkuasa veterinar Thailand.
“… (serta) menjalani pemeriksaan audit dan mendapat pengesyoran kelulusan daripada pihak DVS,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.
Mohamad berkata demikian bagi menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai kesediaan kementerian membuka ruang kepada pengimportan sementara dari negara jiran agar dapat harga daging babi dapat distabilkan.
Bagi memastikan bekalan daging berkenaan mencukupi bagi pasaran tempatan, Mohamad berkata, DVS telah melaksanakan beberapa langkah intervensi.
“Antaranya, meluluskan sembilan buah negara dengan 130 buah abatoir khinzir luar negara yang berupaya mengeksport daging babi ke Malaysia, serta analisis risiko dibuat bagi mempertimbangkan eksport daging khinzir dari Brazil.
“Selain itu, memudah cara pengeksportan khinzir hidup dari Sarawak ke Selangor bagi tujuan penyembelihan untuk menampung permintaan daging babi segar di Semenanjung,” katanya.
Difahamkan kerajaan menghentikan penerimaan import produk daging babi dari Thailand, China, Poland, Belgium, Vietnam dan Kemboja pada 2019, susulan penularan wabak ASF yang boleh memberi kesan buruk kepada industri ternakan tempatan serta kesihatan pengguna.
Pada Mei, Mohamad dilaporkan berkata, DVS akan meneliti cadangan mengimport daging babi dari Thailand, Brazil dan China sebagai langkah menangani isu kekurangan bekalan tempatan, seperti yang disyorkan Gabungan Persatuan Pedagang Daging Babi.
Cadangan itu diutarakan susulan penutupan beberapa ladang di Selangor ekoran penularan penyakit ASF yang turut mengakibatkan harga daging babi segar meningkat dalam pasaran tempatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








