BERITA SEMASA

BN ingatkan PH tidak remehkan isu adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan

SEREMBAN – UMNO Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menolak sama sekali dakwaan tindakan menarik sokongan terhadap Menteri Besar merupakan usaha tebuk atap atau cubaan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri secara tidak bertanggungjawab.

Menurut 14 ADUN UMNO BN Negeri Sembilan dalam satu kenyataan, perkara itu dibuat secara terbuka, rasmi dan berasaskan prinsip.

Katanya, tindakan itu juga bukan sulit, bukan rundingan pintu belakang dan bukan gerakan merebut kuasa.

“Ia adalah pendirian politik yang sah apabila keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar telah hilang.

“Pakatan Harapan (PH) perlu memahami bahawa isu ini bukan sekadar pertikaian politik biasa. Isu ini menyentuh krisis yang melibatkan Institusi Adat, Perlembagaan Negeri, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan serta kestabilan pentadbiran negeri.

“UMNO BN Negeri Sembilan tidak mencampuri urusan adat. Namun apabila tindakan dan kenyataan eksekutif kerajaan negeri dilihat memasuki ruang adat, mencetuskan pertikaian awam dan Exco UMNO BN tidak dimaklumkan secara sewajarnya dalam proses kerajaan negeri, maka UMNO BN tidak boleh terus memikul tanggungjawab bersama terhadap keputusan yang tidak dimaklumkan, tidak dipersetujui dan tidak selari dengan prinsip menghormati adat serta perlembagaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Atas sebab itu katanya, tindakan menarik sokongan itu bukan soal prestasi harian Menteri Besar semata-mata, tetapi soal keyakinan terhadap kebijaksanaan kepimpinan beliau dalam mengurus krisis institusi yang amat sensitif.

Sementara itu katanya, pihaknya juga berpandangan bahawa isu berkaitan adat, institusi dan pentadbiran Negeri Sembilan sewajarnya ditangani dengan penuh kefahaman terhadap konteks negeri ini.

Dalam hal ini katanya, adalah lebih wajar ruang penjelasan utama diberikan kepada pimpinan dan wakil rakyat Negeri Sembilan yang lebih memahami kedudukan adat, perlembagaan dan sensitiviti setempat.

“UMNO BN Negeri Sembilan tetap menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, menghormati Institusi Raja-Raja Melayu, mempertahankan Institusi Adat Negeri Sembilan dan berpegang kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

“Segala langkah selepas ini hendaklah dibuat mengikut lunas perlembagaan, undang-undang negeri dan tertib institusi. UMNO BN Negeri Sembilan menyeru semua pihak, termasuk PH, supaya tidak meremehkan krisis ini dengan menyempitkannya kepada naratif “tebuk atap” atau perebutan kuasa semata-mata.

“Rakyat Negeri Sembilan berhak mendapat penjelasan yang jujur tentang bagaimana krisis ini berlaku, mengapa Exco UMNO BN tidak dimaklumkan, dan bagaimana keyakinan terhadap pentadbiran negeri boleh dipulihkan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pendirian UMNO BN jelas yang mana tindakan itu bukan tebuk atap sebaliknya merupakan krisis keyakinan terhadap Menteri Besar akibat kegagalan mengurus isu adat dan perlembagaan secara tertib.

“UMNO BN tidak campur urusan adat tetapi UMNO BN tidak boleh terus memikul tanggungjawab bersama terhadap tindakan eksekutif yang dilihat mencampuri ruang adat dan menjejaskan kestabilan negeri,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button