BERITA SEMASAPOLITIK

UMNO terima 10,000 permohonan ahli baru, 60 peratus golongan muda

JOHOR BAHRU – UMNO mencatat lonjakan penyertaan dalam kalangan generasi muda apabila lebih 60 peratus daripada hampir 10,000 permohonan keahlian baharu terdiri daripada individu berusia bawah 40 tahun.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, daripada jumlah itu, 6,009 permohonan melibatkan sayap Pemuda, diikuti ahli biasa (2,511), Wanita (791) dan Puteri (689).

Menurut beliau, perkembangan itu membuktikan UMNO masih relevan serta mendapat kepercayaan khususnya daripada golongan muda sebagai wadah politik mereka.

Katanya, inisiatif Rumah Bangsa yang diperkenalkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut memberi kesan positif apabila bukan sahaja menarik kembali bekas ahli, malah membuka ruang kepada penyertaan baharu.

“UMNO bukan sekadar parti politik masa kini, tetapi juga parti masa depan. Peningkatan ini didorong keyakinan terhadap kepimpinan serta rekod pencapaian di peringkat pusat dan negeri.

“Selain itu, UMNO kini dilihat lebih stabil dan matang tanpa konflik dalaman yang ketara berbanding parti lain,” katanya memetik laporan Sinar Online.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan ke Projek Menaiktaraf Rumah Seri Kenangan Johor Bahru, hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, kemudahan pendaftaran keahlian secara dalam talian sejak 2020 terus membantu menarik penyertaan, dan kini diperkukuh melalui pendekatan Rumah Bangsa.

Sebelum ini, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Melaka pada 17 April lalu meluluskan 6,252 permohonan keahlian baharu tanpa syarat menerusi inisiatif berkenaan.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan, sebanyak 3,716 lagi permohonan baharu diterima dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, sekali gus mengukuhkan trend peningkatan keahlian parti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button