Akmal desak Ahli Parlimen BN tolak RUU URA, tuntut penambahbaikan dimuktamad
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menolak Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dijadual dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat kali ini, selagi cadangan penambahbaikan belum dimasukkan.
Beliau menegaskan, tuntutan itu selari dengan ketetapan Konvensyen URA anjuran UMNO sebelum ini yang mengemukakan beberapa penambahbaikan penting bagi melindungi kepentingan pemilik hartanah dan pihak berkepentingan.
“Selagi cadangan penambahbaikan hasil Konvensyen URA anjuran UMNO tidak dimasukkan dalam RUU tersebut, saya mohon semua Ahli Parlimen BN menolak pembentangannya pada sidang Parlimen kali ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Akmal, UMNO sebelum ini telah mencapai kesepakatan untuk tidak menyokong RUU berkenaan, justeru tiada alasan munasabah untuk meneruskan pembentangan rang undang-undang yang sama tanpa pindaan.
“Tiada keperluan untuk meneruskan RUU yang sama. Rakyat melihat dan menilai pendirian kita,” katanya.
Pada Oktober tahun lalu, Konvensyen URA anjuran Pasukan Khas UMNO menegaskan supaya pembentangan RUU itu ditangguhkan sehingga ia digubal semula dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.
Konvensyen berkenaan turut berpandangan RUU URA sedia ada gagal menangani kebimbangan utama pemilik hartanah, selain tidak menyediakan jaminan perlindungan yang mencukupi.
Dalam perkembangan berkaitan, media melaporkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menegaskan kesediaan kementeriannya untuk membentangkan RUU URA bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat selepas memperoleh konsensus Jemaah Menteri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








