
KDNK awalan suku keempat dianggarkan tumbuh 5.7 peratus
PUTRAJAYA – Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) awalan bagi suku tahun keempat 2025 menunjukkan ekonomi Malaysia dijangka bertumbuh sebanyak 5.7 peratus.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, data itu yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Negara (DOSM) memberi petunjuk awal mengenai prestasi semasa ekonomi negara.
“Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran global dan persekitaran luaran yang tidak menentu, ekonomi Malaysia diunjurkan mencatat pertumbuhan 4.9 peratus bagi tahun 2025, melebihi unjuran rasmi antara 4.0 peratus hingga 4.8 peratus.
“Lonjakan aktiviti ekonomi pada tiga bulan terakhir 2025 memperlihatkan rentak pertumbuhan yang semakin rancak, didorong terutamanya oleh pengukuhan permintaan domestik, di samping peningkatan sektor perkhidmatan dan pembuatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berdasarkan anggaran KDNK awalan ini, katanya, pertumbuhan KDNK bagi tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), iaitu pencapaian tahun 2021 hingga 2025 dianggarkan sebanyak 5.2 peratus setahun, melebihi anggaran awalan pencapaian seperti yang dinyatakan dalam dokumen Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Menurut Akmal, pencapaian itu membuktikan keberkesanan hala tuju dan strategi Ekonomi MADANI dalam mendepani ketidaktentuan cabaran global serta menstruktur semula ekonomi dan mengekalkan permintaan domestik yang mampan.
Katanya, kejayaan pelaksanaan lebih 170 inisiatif pembangunan sosioekonomi dalam tempoh RMKe-12 telah turut menyumbang kepada pencapaian ini.
Selain itu katanya, pertumbuhan ekonomi itu turut mencerminkan kesan pelaksanaan program bantuan tunai bersasar seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang telah mendorong kepada pengukuhan perbelanjaan isi rumah.
“Ini merupakan momentum positif bagi mencerminkan asas ekonomi Malaysia kekal kukuh dan berdaya saing.
“Tahun 2026 merupakan permulaan fasa pelaksanaan RMK13 dan Kementerian Ekonomi komited dalam memastikan setiap inisiatif diterjemah kepada hasil yang nyata dan dirasai oleh rakyat secara keseluruhan,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







