BERITA SEMASA

Jalur Gemilang tidak lengkap: Dr Akmal perlu buat laporan polis terhadap diri sendiri – ADUN DAP

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Astaka, Jason Ng Thien Yeong mencabar Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh supaya membuat laporan polis terhadap dirinya sendiri selepas didakwa berulang kali memaparkan Jalur Gemilang yang tidak mengikut spesifikasi sebenar di media sosial.

Jason berkata, tindakan itu wajar dilakukan memandangkan Dr Akmal sebelum ini lantang mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melakukan kesilapan memaparkan bendera negara, malah pernah mengugut untuk mengadakan himpunan bagi mengajar cara pemasangan bendera dengan betul.

“Semalam, Pemuda UMNO Terengganu memuat naik gambar Jalur Gemilang dengan hanya 12 jalur berbanding 14 jalur sebenar. Dr Akmal mengarahkan supaya laporan polis dibuat sebagai bukti beliau berpegang pada prinsip.

“Kini, beliau perlu melakukan perkara sama kerana di akaun Instagramnya terdapat beberapa gambar Jalur Gemilang yang tidak tepat, termasuk hanya 11 jalur serta bendera yang telah diubah fizikalnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memetik kenyataan Akmal sebelum ini yang menyifatkan isu Jalur Gemilang sebagai perkara besar yang tidak boleh dikompromi.

“Pemuda UMNO mendesak kerajaan ambil tindakan tegas kepada individu menghina lambang negara kita ini. Jangan hanya sekadar meminta maaf sahaja!”

Menurut Jason, berdasarkan logik kenyataan tersebut, Dr Akmal sepatutnya dikenakan tindakan sama seperti individu lain yang pernah melakukan kesilapan memaparkan bendera negara.

“Dalam kes lain, individu yang tersilap telah segera memperbetulkan kesalahan dan memohon maaf.

“Namun, Akmal dilihat berulang kali melakukan kesilapan yang sama, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada ia disengajakan atau beliau tidak menyedarinya,” katanya lagi.

Jason turut menyindir Akmal supaya tidak hanya menuding jari kepada pihak lain.

“Meludah ke langit, menimpa muka sendiri. Lebih baik ajar diri sendiri dahulu sebelum mengajar orang lain.

“Kami menunggu beliau membuat laporan polis terhadap diri sendiri, sebaiknya sebelum turun ke Pulau Pinang esok. Jangan pula salahkan admin media sosial nanti,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button