Penahanan Ketua Pemuda UMNO keterlaluan – Armada Bersatu
KUALA LUMPUR – Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan penahanan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh oleh polis di Kota Kinabalu pagi tadi sebagai tindakan keterlaluan.
Ahli Parlimen Machang itu berkata, tindakan itu tidak sepatutnya berlaku kerana Dr. Akmal telah dijadualkan memberi keterangan di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi esok.
“Apakah keperluan membuat tangkapan terhadap YB Dr. Akmal Saleh di Sabah sedangkan beliau sudah pun dijadualkan untuk memberi keterangan di IPD Dang Wangi, esok?
“Mana mungkin panggilan untuk memboikot boleh dianggap telah melakukan suatu jenayah?,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.
Dr. Akmal ditahan polis di Lapangan Terbang Kota Kinabalu pagi tadi dipercayai berkait kelantangan beliau menyeru tindakan boikot kepada rangkaian kedai serbaneka KK Mart selepas penjualan stoking bercetak kalimah Allah pada 13 Mac lalu.
Wan Ahmad Fayhsal turut mempersoalkan tindakan polis yang melakukan siasatan ke atas Dr. Akmal di bawah Akta Hasutan seperti diumumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain hari ini.
Sehubungan itu beliau menggesa semua ahli dalam sayap parti itu mempertimbangkan kedudukan mereka di dalam Kerajaan Perpaduan kerana tidak lagi bebas menyuarakan hak dan kepentingan agama, bangsa dan tanah air.
“Tangkapan terhadap Dr. Akmal adalah keterlaluan dan boleh menimbulkan perasaan kurang senang oleh sesetengah pihak tatkala kes-kes berkaitan agama seperti salah seorang Ahli Parlimen kerajaan yang didakwa menggunakan ayat suci Al-Quran tidak pula ditangkap?
“Apakah pendirian penentang Akta Hasutan khususnya parti DAP dalam isu ini yang mana YB Dr. Akmal kini telah disiasat di bawah Akta tersebut?
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








