BERITA SEMASAPOLITIK

Kemelut BERSATU Selangor: Desakan siasat Hamzah Zainudin semakin memuncak

SHAH ALAM – Tekanan terhadap Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Hamzah Zainudin semakin meningkat apabila seorang lagi pemimpin parti di Selangor mendesak Lembaga Disiplin BERSATU menyiasat dakwaan peranannya berkait kemelut dalaman yang dikatakan melemahkan kepimpinan parti.

Ketua BERSATU Kuala Selangor, Harisson Hassan mendakwa, Ketua Pembangkang itu berdiam diri terhadap serangan berterusan ke atas kepimpinan parti dan menjadi dalang di sebalik siri tindakan terancang bagi memperlekehkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta mencemarkan imej parti.

Harrison Bersatu
Ketua BERSATU Kuala Selangor, Harisson Hassan.

“Saya menuntut Lembaga Disiplin parti untuk segera membuka siasatan menyeluruh, telus dan tanpa sebarang perlindungan politik terhadap Hamzah.

“Sekiranya dakwaan ini dibuktikan, tindakan disiplin paling tegas mesti diambil selaras dengan peruntukan Perlembagaan parti.

“Tiada siapa, walau setinggi mana jawatannya, boleh diletakkan mengatasi parti dan presidennya,” katanya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU dalam satu kenyataan hari ini.

Gesaan sama turut disuarakan oleh Timbalan Pengerusi BERSATU Selangor, Rafiq Abdullah yang mendakwa Hamzah menjadi punca utama kepada krisis dalaman yang sedang melanda parti itu.

Sebelum ini, Hamzah menafikan wujud ketegangan hubungannya dengan Muhyiddin, selain menolak dakwaan kewujudan dua kem dalam BERSATU.

BACA JUGA:

Ketua Bahagian BERSATU Dungun desak Muhyiddin letak jawatan

Beliau juga mendakwa, naratif berkenaan sengaja diwujudkan bagi mencetuskan perpecahan dalam BERSATU dan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, Hamzah terus dikaitkan dengan dakwaan sokongan terhadap usaha perpecahan dalaman parti yang dipercayai membawa kepada beberapa tindakan disiplin sebelum ini.

Antaranya termasuk pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah selain penggantungan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button