JENAYAH & MAHKAMAH

Kelewatan siasatan kematian dalam tahanan Bandar Sunway tidak boleh diterima – Gobind

KUALA LUMPUR – Kelewatan polis menyelesaikan siasatan kes kematian dalam tahanan melibatkan S. Manisegaran di Balai Polis Bandar Sunway sejak Februari lalu disifatkan sebagai tidak boleh diterima dan menuntut penjelasan segera pihak berkuasa.

Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo berkata, sehingga kini balu mangsa, Puan S. Rajeswari, masih belum dihubungi oleh pihak polis walaupun Peguam Negara telah mengarahkan siasatan disiapkan tanpa sebarang kelewatan pada 6 Disember lalu.

Menurut beliau, kes berkenaan telah berlarutan hampir sembilan bulan, sekali gus menimbulkan persoalan serius terhadap komitmen pihak polis dalam memastikan keadilan ditegakkan dalam kes kematian dalam tahanan.

“Undang-undang jelas menyatakan bahawa satu siasatan dan inkuiri perlu dijalankan bagi menentukan punca kematian sebelum tindakan lanjut diambil.

“Namun sehingga kini, masih tiada perkembangan dimaklumkan kepada keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Gobind menggesa Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Ismail memberikan penjelasan berhubung kelewatan tersebut serta memastikan laporan siasatan disiapkan dan dikemukakan kepada Peguam Negara seperti yang diarahkan.

Beliau turut menegaskan keperluan pembaharuan terhadap prosedur pengendalian kes kematian dalam tahanan, termasuk menetapkan tempoh masa yang jelas bagi setiap peringkat siasatan bagi mengelakkan kelewatan berulang.

“Tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pegawai yang gagal mematuhi arahan atau prosedur ditetapkan, sama ada melalui tindakan tatatertib atau pertukaran pegawai bagi memastikan siasatan berjalan lancar,” katanya lagi.

Gobind berkata, kelewatan berpanjangan boleh menjejaskan siasatan, termasuk kehilangan bukti serta keterangan saksi, sekali gus bercanggah dengan tujuan Seksyen 334 dan Bab XXXII Kanun Tatacara Jenayah yang bertujuan memastikan keadilan dalam kes kematian dalam tahanan.

Beliau memaklumkan, perkara itu juga akan dibangkitkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bagi meneliti keperluan pembaharuan menyeluruh terhadap prosedur siasatan kes seumpama itu agar tidak terus berlarutan pada masa hadapan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button