BERITA SEMASA

Tiga sekeluarga cemas kereta dipijak gajah

IPOH – Tiga sekeluarga berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki mereka dipijak sekumpulan gajah di KM55, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli sebelum Hentian Titiwangsa, lewat petang semalam.

Ketua Polis Gerik,  Superintendan  Zulkifli Mahmood berkata ketika kejadian kira-kira 7.35 malam itu, kereta jenis Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun dalam perjalanan dari arah Pulau Pinang menghala ke Jertih, Terengganu.

“Apabila sampai di lokasi yang berselekoh ke kiri, tiba-tiba pemandu tersebut ternampak sekumpulan enam ekor gajah berada di lorong menghala Jeli dan kemudiannya terlanggar seekor anak gajah.

“Selepas itu, kumpulan gajah berkenaan menghampiri lalu memijak kereta terbabit namun setelah anak gajah yang dilanggar bangun, kumpulan gajah beredar dalam keadaan hujan renyai-renyai dan berkabus,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, siasatan mendapati Perodua Axia itu dipijak kumpulan gajah berkenaan selepas sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki  terlanggar anak gajah.

Beliau berkata akibat kejadian itu, kereta berkenaan mengalami kerosakan teruk di bahagian sisi kiri, hadapan dan belakang manakala pemandu dan isterinya yang berusia 47 tahun dan anak mereka 23 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button