Orang awam cedera ditembak berhampiran Zoo Johor
JOHOR BAHRU – Seorang individu cedera selepas dipercayai terkena tembakan dalam kejadian di Jalan Gertak Merah, berhampiran Zoo Johor, di sini, petang tadi.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi dan memaklumkan tembakan berkenaan membabitkan anggota polis serta seorang orang awam.
“Saya sahkan berlaku tembakan membabitkan anggota polis dan mangsa orang awam yang cedera. Siasatan di tempat kejadian masih dijalankan,” katanya.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2 petang apabila seorang pemandu kereta dikatakan terkena tembakan.
Tinjauan di lokasi mendapati kenderaan yang dipercayai dipandu mangsa masih berada di kawasan kejadian, manakala pita larangan dipasang bagi mengawal kawasan berkenaan.
Seorang pengunjung yang enggan dikenali berkata, dia terdengar dua bunyi yang dipercayai seperti tembakan sebelum disusuli bunyi dentuman.
“Saya sempat bertanya orang lain, itu bunyi tembakan ke? Selepas bunyi itu, saya dengar bunyi dentuman dan kemudian kereta itu dilihat berlanggar dengan sebuah kereta lain yang diparkir di lokasi,” katanya.
Mangsa yang dipercayai cedera akibat tembakan itu kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan.
Ab Rahaman dijangka mengadakan sidang media berhubung kejadian itu esok.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








