BERITA SEMASAPOLITIK

PH dijangka umum calon PRN Melaka dalam tempoh seminggu

MELAKA – Pakatan Harapan (PH) dijangka mengumumkan senarai calon yang bakal bertanding mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam tempoh seminggu lagi.

Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengumuman senarai calon berkenaan akan dilakukan oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun katanya, tarikh rasmi pengumuman itu masih belum dimuktamadkan.

Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari. Foto Malaysia Tribune

“Lebih kurang seminggu lebih dari sekarang akan kita maklumkan. Saya sedang menunggu tarikh rasmi, tarikh kesediaan dan juga kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Selepas itu nanti saya akan maklumkan paling kurang tiga, empat hari notis awal sebelum kita umumkan tarikh pengumuman calon tersebut,” katanya kepada pemberita di pelancaran Bilik Gerakan Utama PH di Bukit Baru, di sini, hari ini.

Menurut Amirudin, proses pemilihan calon kini berada di peringkat akhir sebelum senarai berkenaan dimuktamadkan oleh PM.

Katanya, pemilihan calon akan ditentukan terlebih dahulu oleh parti komponen masing-masing sebelum dibawa kepada Pengerusi PH untuk pengesahan.

“Sebelum ditandatangani oleh Pengerusi PH, pemilihan calon akan ditentukan terlebih dahulu oleh komponen parti masing-masing, Kalau ada pun satu dua (kerusi), ia adalah isu-isu yang sangat berat yang mungkin akan dikembalikan kepada pengerusi parti masing-masing untuk membuat keputusan,” ujarnya.

Bagaimanapun, Amirudin berkata, setakat ini tiada isu besar yang berkaitan dengan pemilihan calon dan beliau yakin semua calon PH yang dipilih mampu membawa harapan serta tanggungjawab gabungan itu.

“Namun setakat ini tiada isu-isu besar yang terkait dengan calon. Insya-Allah calon kita semua berkaliber yang akan membawa, memikul harapan dan juga memikul tanggungjawab bagi PH,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button